Kementerian Kewangan (MoF) menarik balik kelayakan penerimaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terhadap seorang lelaki yang mengaku memiliki enam buah rumah sewa.
Menurut MoF, lelaki berkenaan kini disiasat di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana disyaki gagal mengisytiharkan pendapatan sewaan yang diterima.
MoF memaklumkan bahawa siasatan lanjut mendapati pemilikan hartanah tersebut adalah benar berdasarkan rekod pindah milik dalam sistem e-Duti Setem milik Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), dengan hartanah terbabit didaftarkan atas nama penerima serta pasangannya.
“Berdasarkan siasatan dan penemuan ini, kelulusan STR dan SARA beliau telah ditarik balik,” menurut kenyataan kepada Buletin TV3.
Terdahulu, tular di media sosial hantaran seorang lelaki yang mendedahkan beliau menerima bantuan STR dan SARA berjumlah RM1,900 setahun, selain mengaku memiliki enam hartanah sewaan yang dibeli sejak 2007.
Perkara itu mencetuskan reaksi orang ramai yang menggesa pemilikan hartanah dijadikan antara kriteria utama kelayakan bantuan kerajaan.
MoF sebelum ini menegaskan semua pemohon bantuan kerajaan perlu memberikan maklumat yang tepat dan benar, dan tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya maklumat palsu atau tidak lengkap dikemukakan.
Sumber: Buletin TV3
SHARE:
