Jaringan tunggal Emmanuel Mbarga sudah cukup untuk menghadiahkan Kelantan Red Warrior FC kemenangan tipis 1-0 ke atas Selangor FC II dalam aksi Liga A1 Semi Pro musim 2025/26 di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Isnin.
Walaupun kelihatan sedikit bergelut pada awal perlawanan, percubaan pertama tuan rumah hadir menerusi sepakan jarak jauh Zuasyraf Zulkiefle yang tepat ke dakapan penjaga gol pelawat, Azeem Izhar.
Selangor FC II hampir membuka jaringan pada minit ke-15 menerusi percubaan berbahaya Abdul Rahman Daud, namun berjaya dinafikan dengan cemerlang oleh Shafiq Afifi di gawang Red Warrior.
Anak buah Saiful Nizam Ab Khamis terus mengasak dengan beberapa gerakan menarik selepas itu, namun benteng pertahanan tuan rumah yang diketuai Latiff Suhaimi bijak mengawal keadaan untuk memastikan KRW FC kekal tanpa bolos sehingga tamat babak pertama.
Memasuki separuh masa kedua, sedikit perubahan taktikal menyaksikan perlawanan berlangsung lebih terbuka dengan aksi berbalas serangan dari kedua-dua pasukan.
Rizuan Muda hampir meletakkan KRW FC di hadapan pada minit ke-58 selepas kegagalan Azeem Izhar membaca hantaran lambung Zuasyraf, namun sepakan penyudahnya tersasar walaupun gawang Selangor FC II sudah terbuka.
Beberapa minit kemudian, Selangor FC II pula berpeluang menjaringkan gol menerusi Abdul Rahman Daud dan Haykal Danish, namun Shafiq Afifi sekali lagi tampil cemerlang menafikan usaha berkenaan.
Ketika perlawanan seakan berakhir tanpa jaringan, detik penentuan hadir pada minit ketiga masa tambahan.
Gerakan kemas pemain gantian Muhaimin Izzudin disusuli hantaran Mazwan Che Mat menemui larian Emmanuel Mbarga di dalam kotak penalti sebelum penyerang itu melepaskan rembatan kencang menewaskan Azeem Izhar.
Gol dramatik tersebut mencetuskan sorakan hampir 1,000 penyokong Red Warrior yang membanjiri stadium bagi meraikan jaringan saat akhir itu.
Kedudukan terkini Liga A1-Semi Pro selepas perlawanan ke 16
Kemenangan ini menyaksikan Kelantan Red Warrior FC mengutip 29 mata daripada 16 perlawanan untuk naik satu anak tangga ke kedudukan keenam liga, manakala Selangor FC II kekal di puncak carta dengan 36 mata.
Sumber: Kelantan Red Warrior FC
SHARE:
