Pembangunan pelabuhan di Kelantan terus diberi perhatian serius oleh Kerajaan Negeri sebagai antara pemacu strategik bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Menurut kenyataan di media sosial Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, kerajaan negeri membuka ruang sepenuhnya kepada pelabur strategik yang mempunyai rekod prestasi kukuh serta keupayaan teknikal dan kewangan yang meyakinkan.
Beliau memaklumkan, satu kunjungan hormat telah diterima daripada Cahya Mata Sarawak Berhad bagi perbincangan awal cadangan pembangunan Pelabuhan Pintar Bertaraf Antarabangsa serta Pembangunan Bandar Baharu Industri Teknologi Hijau yang mesra alam sekitar.
Katanya, penilaian awal terhadap cadangan tersebut mengambil kira beberapa aspek penting termasuk keselarasan dengan perancangan pembangunan negeri, prinsip kelestarian alam sekitar, potensi ekonomi bernilai tinggi serta keupayaan projek untuk mewujudkan limpahan manfaat kepada wilayah dan komuniti setempat.
“Insya-Allah, setiap cadangan akan diperhalusi serta dipertimbangkan secara menyeluruh,” menurut beliau dalam kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, beliau telah meminta agensi-agensi berkaitan supaya meneliti aspek teknikal, kebolehlaksanaan serta manfaat keseluruhan projek bagi memastikan keuntungan maksimum kepada rakyat dan pada masa sama mengelakkan sebarang kerugian kepada negeri.
Usaha ini dilihat selari dengan hasrat Kerajaan Negeri Kelantan untuk memastikan setiap pembangunan berskala besar memberi pulangan mampan, berimpak tinggi dan berpaksikan kepentingan rakyat.
SHARE:
