Seorang remaja lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 35.8 Jalan Kota Bharu–Kuala Krai, berhampiran Simpang Tiga Dewan Kechil Labok, Machang, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Machang, Ahmad Shafiki Hussin, berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 8.15 malam berhubung kejadian tersebut.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 8 malam apabila sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita bersama empat orang anaknya dari arah Kuala Krai cuba membelok masuk ke simpang Dewan Kechil Labok yang terletak di sebelah kanan jalan.
“Ketika kereta Perodua Myvi itu memasuki simpang, sebuah motosikal jenis Honda yang ditunggang mangsa dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Krai telah melanggar bahagian sisi kiri kereta berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, Perodua Myvi hilang kawalan lalu melanggar sebuah lagi kenderaan iaitu Honda City yang dipandu seorang wanita bersama dua orang anaknya yang sedang menunggu di simpang sama untuk keluar menghala ke Kota Bharu,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Ahmad Shafiki berkata, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Bagaimanapun, pemandu serta semua penumpang kedua-dua buah kereta terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
- 10 Rakyat Malaysia Dalam Misi Global Sumud Flotilla 2.0 Ditahan Tentera Zionis
- Pelajar Parah Dirempuh SUV Di SMK Tanjong Mas Dibenar Keluar Hospital
- Langgar Kereta Polis, Pacuan Empat Roda Ditembak Dua Das Sebelum Pemandu Ditahan
Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Fatin Nurhanis Ibrahim di talian 011-1454020 atau Bilik Gerakan IPD Machang di talian 09-9751222.
