Sembilan sekeluarga hanya mampu melihat rumah yang didiami sejak puluhan tahun musnah dijilat api dalam satu kebakaran di Kampung Langgar, Jalan Kubur Maras, Kota Bharu, kira-kira jam 11 pagi Ahad, lapor Kelantan Post.
Menurut laporan itu lagi, Nor Salwani binti Sulong, 38, penghuni rumah tersebut menyatakan kejadian itu berlaku hanya beberapa minit selepas dia membawa abangnya yang sakit akibat kemalangan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Dalam sekelip mata api merebak dengan cepat mengakibatkan rumah kami musnah sepenuhnya sehingga kerugian dianggarkan lebih RM70,000.
“Kami hanya tinggal sehelai sepinggang. Kami reda, Allah masih lindungi,” katanya.
Nor Salwani yang bekerja sebagai buruh berkata, keluarga mereka telah mendiami rumah peninggalan orang tuanya itu sejak 38 tahun lalu.
Ujarnya, sehingga kini mereka masih belum memikirkan dan membuat keputusan untuk tinggal di mana selepas rumah berkenaan hangus sepenuhnya.
Menurut Kelantan Post, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zukeri bin Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.41 pagi.
Menurut beliau, seramai 15 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu digerakkan ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja pemadaman.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira 20 minit kemudian,” katanya.
Tambah beliau, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga berkenaan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 153010805928 atas nama Nor Salwani atau menghubunginya di talian 017-954 1455.
Sumber: Kelantan Post
