RANTAU PANJANG – Lebih 500 peniaga di pekan Rantau Panjang, di sini, berdepan kekurangan pelanggan susulan pembinaan pembahagi jalan dan penghadang dinding di kawasan Zon Bebas Cukai itu, menurut laporan Berita Harian.
Tinjauan mendapati premis perniagaan termasuk Bazar Putri, Bazar Impian, Bazar Shazie dan Bazar Ibrahim lengang kerana jalan sehala susulan pembahagi jalan yang dibina sejak tahun lalu, mengelirukan pengunjung.
Keadaan semakin membebankan apabila terdapat penghadang dinding setinggi lebih tiga meter (m) dibina untuk projek baharu sejak dua minggu lalu, sehingga melindungi beberapa bangunan bazar di pekan berkenaan.
Peniaga, Mohamad Shakir Hafizi Shakirin, 28, berkata dia dan rakan niaga yang lain berhadapan dengan masalah kekurangan pelanggan sudah lama, namun dengan halangan yang baharu ini ada hari yang mereka langsung tidak didatangi pelanggan.
"Jalan sehala disebabkan oleh pembahagi jalan menyebabkan pengunjung jarang melalui kawasan Bazar Putri, tempat saya berniaga, selain menyebabkan jarak untuk ke premis kami menjadi lebih jauh.
"Manakala, isu penghadang dinding sebenarnya baru sahaja timbul. Dinding tinggi yang diperbuat daripada zin adalah untuk menutup pembinaan projek yang kami sendiri tidak tahu apa-apa maklumat berkenaannya.
"Sejujurnya, peniaga sentiasa menyokong setiap pembangunan yang dibuat di sini, cuma biarlah dimaklumkan secara terperinci dan kami mohon jasa baik pihak berkenaan untuk merendahkan sedikit penghadang dinding agar premis kami tidak terlindung," katanya ketika ditemui di Pekan Rantau Panjang, di sini, hari ini.
Jelasnya, pembinaan penghadang dinding juga menyebabkan kawasan letak kereta terhad dan jauh dari kawasan bazar.
Sementara itu, KamarohZaman Ibrahim, 63, berkata pihaknya sudah berjumpa dengan pemimpin tempatan serta pihak Majlis Daerah Pasir Mas berkaitan dua isu itu, namun masih belum mendapat jawapan atau sebarang tindakan.
"Surat rasmi sudah dihantar, perjumpaan bersemuka juga sudah dilakukan. Tidak tahu apa lagi saluran kami ada untuk meluahkan masalah yang kami lalui.
"Kami mohon pemimpin mahupun kerajaan negeri untuk bantu ratusan peniaga di sini, kerana suasana lengang hampir pada setiap hari menyebabkan banyak premis terpaksa ditutup sekali gus peniaga hilang punca pendapatan," katanya.
Bagi Rozmah Che Wil, 66, yang sudah lebih 30 tahun berniaga di pekan Rantau Panjang, kewujudan pembahagi jalan dan penghadang dinding itu menyebabkan kegiatan ekonomi semakin merosot.
"Tambahan pula, kami peniaga swasta yang mempunyai banyak komitmen termasuk sewa premis sekitar RM500 sehingga RM1,000 sebulan.
"Sekarang pun, sudah 50 peratus peniaga gulung tikar dan jika masalah itu tidak diselesaikan dengan segera berkemungkinan besar pekan Rantau Panjang akan terus lenyap," katanya. –#KelantanDaily
