Wanita maut dirempuh lori ketika tukar tayar di lorong kecemasan

Seorang wanita maut selepas dipercayai dirempuh lori ketika sedang menukar tayar keretanya di Kilometer 260.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, pagi tadi, lapor Berita Harian.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.20 pagi ketika mangsa berusia 31 tahun itu dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Senawang.

Menurut rakan sekerjanya, Nur Affiqah Jamran, 30, mereka sepatutnya menghadiri mesyuarat bersama mangsa pagi ini, namun arwah tidak muncul di pejabat.

“Kami sepatutnya mesyuarat dengan arwah pagi ini, namun dia tidak muncul di pejabat membuatkan kami pelik sehinggalah saya dihubungi rakan serumahnya memberitahu dia kemalangan.

“Saya dan seorang rakan sekerja bergegas ke lokasi, namun sebaik sampai dia sudah meninggal dunia, mayatnya ditutup dengan kain putih,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahman memaklumkan kemalangan membabitkan sebuah Proton X50 dan lori kontena jenis Volvo.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian pemandu Proton X50, iaitu seorang wanita berusia 31 tahun dalam perjalanan dari arah Gadong menghala ke Senawang.

“Apabila sampai di lokasi kemalangan, SUV dipandunya dipercayai mengalami kerosakan, tayar belakang sebelah kanan pancit. Pemandunya dikatakan memberhentikan motokar di lorong kecemasan.

“Bagaimanapun, ketika sedang menukar tayar, datang sebuah lori kontena yang dipandu seorang lelaki berumur 24 tahun di lorong kiri dan dipercayai bergesel dengan pemandu kereta itu,” katanya.

Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan parah pada anggota badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.



*KD: Seriau baca berita ni. Kalau kereta pancit di tepi lebuh raya, jangan lupa letak segitiga amaran sekurang-kurangnya 30 meter dari belakang kenderaan. Kalau ada lampu kecemasan, lagi baik. Keselamatan kena jaga dulu sebelum buat apa-apa.

Sumber: Berita Harian

TERKINI

Cucu Tok Guru Nik Aziz, Senator Azhar Pilih Berdamai Tamatkan Kontroversi
|
Kontroversi melibatkan cucu bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Nik…
MB Kelantan Salur Bantuan Awal Kepada Mangsa Kebakaran Gok Kapor
|
Kerajaan Negeri Kelantan menyalurkan bantuan awal kepada mangsa kebakaran…
Remaja 15 Tahun Cuci Kereta Demi Keluarga, MAIK Tampil Hulur Bantuan Buat Shamir
|
Seorang remaja berusia 15 tahun yang sebelum ini terpaksa…
Tragedi Tohoi: Hilang Dalam Hutan 47 Hari, Dua Murid Sekolah Berusia 10 Dan 11 Tahun Ditemui Selamat
|
Hampir 11 tahun berlalu, namun tragedi kehilangan tujuh murid…
Ibu Angkat Ditahan Kurung Kanak-Kanak 9 Tahun Dalam Stor Belakang Rumah
|
Nasib malang seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang…
Jangan Hukum Semua Pelarian Rohingya Kerana Kesalahan Segelintir Individu – ABIM
|
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan bahawa pendirian mereka…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!