KUALA LUMPUR – Rakyat Kelantan terus membuktikan komitmen tinggi dalam perkhidmatan awam apabila negeri itu mencatatkan jumlah penjawat awam tertinggi di Malaysia, menurut data Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) setakat 24 September 2025.
Daripada 1.3 juta penjawat awam di seluruh negara, Kelantan merekodkan 170,383 orang, bersamaan 13 peratus daripada keseluruhan jumlah tersebut, menjadikannya negeri dengan penglibatan terbesar dalam sektor awam.
Negeri Perak berada di tempat kedua dengan 140,160 penjawat awam (11 peratus), diikuti Johor dengan 132,032 orang (10 peratus).
Perkara itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.
Beliau menjelaskan bahawa statistik berkenaan merangkumi jawatan sebenar berwaran tetap dan tidak termasuk skim perkhidmatan polis serta tentera.
Menurut Dr. Zaliha, angka berkenaan turut tertakluk kepada proses pengemaskinian berkala oleh pegawai sumber manusia di setiap agensi kerajaan, bagi memastikan ketepatan data dan keberkesanan tadbir urus perkhidmatan awam negara.
#KelantanDaily
Sumber: Media Point
