Karya dan Jasa Cik Man Akan Terus Hidup dalam Sejarah Seni Negara – SENIMAN

Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) menyifatkan pemergian pelakon veteran Kamarozaman Yusoff atau lebih dikenali sebagai Cik Man sebagai satu kehilangan besar kepada industri seni tanah air.

Menurut laporan Bernama, Allahyarham yang berusia 68 tahun meninggal dunia di Hospital Tanah Merah, Kelantan kira-kira jam 5.30 petang pada Rabu akibat komplikasi jantung.

Setiausaha Agung SENIMAN, Hafiz Nafiah berkata, Allahyarham merupakan antara pelakon karakter terbaik negara.

Sepanjang lebih empat dekad bergiat aktif dalam dunia lakonan, Cik Man dikenali dengan gaya lakonan bersahaja dan penuh jiwa. Loghat Kelantan yang dibawanya pula menjadi identiti tersendiri dalam setiap lakonan.

“Walaupun Allahyarham bukanlah seorang yang mengejar pengiktirafan atau populariti, dedikasi, disiplin serta komitmen beliau terhadap dunia seni telah menjadikan beliau seorang seniman yang amat dihormati oleh rakan-rakan industri dan generasi pelapis.

“Perginya seorang seniman, namun karya dan jasanya akan terus hidup dalam lipatan sejarah seni tanah air,” katanya dalam kenyataan.

SENIMAN turut merakamkan penghargaan atas segala jasa dan sumbangan Allahyarham dalam memartabatkan industri seni kreatif Malaysia.

Persatuan itu turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Lebih empat dekad mewarnai dunia lakonan

Cik Man mula mencuri perhatian menerusi watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja pada 1986.

Beliau kemudiannya terus mengukuhkan kedudukan dalam industri menerusi pelbagai filem seperti Rozana Cinta 87, Rock, Rock Oo!, Rock Bro!, Tiada Tajuk, Cerita Hantu Malaysia, Mael Totey The Movie dan Abu Si Raksasa.

Allahyarham turut membintangi drama bersiri Banyak Chanteq.

Watak Cik Man dalam trilogi filem Rock arahan Allahyarham Mamat Khalid menjadi antara watak paling ikonik dalam sejarah perfileman Malaysia dan terus terpahat dalam ingatan peminat seni tanah air.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!