Lelaki maut ditetak, tangan dan kaki putus, suspek positif dadah

TUMPAT – Seorang bapa tunggal maut selepas dipercayai ditetak bertubi-tubi di beberapa bahagian badan sehingga menyebabkan tangan kiri dan kaki kanan putus dalam kejadian di Kampung Kok Bedollah, di sini pada Jumaat.

Menurut laporan Sinar Harian, mangsa, Mohd Suhairi Hasim, 46, yang bekerja sebagai pemandu jengkaut dan bapa kepada dua anak, ditemukan tidak sedarkan diri kira-kira jam 11 malam oleh ibunya, Wan Salma Wan Said, 68.

Wan Salma berkata, ketika kejadian dia berada di dalam rumah dan sedang bersiap untuk tidur sebelum terdengar jeritan kuat daripada anaknya.

“Tiba-tiba saya terdengar teriakan kuat daripada Mohd Suhairi yang menyebut ‘ALLAH... ALLAH...’ lebih 20 kali.

“Saya terus bangun menuju ke tingkap dan bertanya, ‘Kamu bergaduh dengan siapa pula Hairi?’” katanya ketika ditemui di rumahnya pada Sabtu.

Menurut beliau, Mohd Suhairi tidak memberi respons, lalu dia segera menuju ke tempat anaknya mencuci jengkaut yang terletak berhampiran rumah.

Katanya, disebabkan keadaan gelap dan matanya rabun, dia menyangka seorang lelaki yang sedang berdiri di hadapan jengkaut itu adalah anaknya.

“Tiba-tiba lelaki itu yang merupakan anak saudara saya bersuara.

“Kata dia, ‘Aku buat anak kamu begini kerana dia telah tularkan anak aku.’ Kemudian dia terus berjalan pergi dan membawa bersama senjata seperti parang,” katanya.

Wan Salma berkata, dia terkejut apabila melihat anaknya terbujur kaku dengan darah memenuhi tubuh.

Mangsa dipercayai ditetak di beberapa bahagian badan sehingga terputus tangan kiri dan kaki kanan, selain luka di pipi, belakang dan bahu.

Mayat Mohd Suhairi kemudian dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat, dan jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Kok Bedollah.

Tambah Wan Salma, suspek yang juga sepupu kepada mangsa telah ditahan oleh polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Suspek seorang lelaki berusia 45 tahun direman tujuh hari bermula Sabtu di Mahkamah Majistret Pasir Mas bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mohd Khairi ketika dihubungi berkata, hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek dikatakan bekerja sendiri dan mempunyai hubungan keluarga dengan mangsa. Isterinya merupakan sepupu kepada mangsa.

“Kita tidak menolak kemungkinan kes ini bermotif dendam namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

#KelantanDaily
Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Fenomena Bau Asap Waktu Malam Di Kota Bharu Dan Bachok Cetus Tanda Tanya
|
Sejak beberapa malam kebelakangan ini, penduduk sekitar Kota Bharu…
Mangsa Ditembak Pencuri Lembu Di Ladang Kemahang Dibenar Pulang
|
Mangsa yang parah ditembak dipercayai pencuri lembu dalam kejadian…
Bukan Lagi Untuk Kayangan, HPUSM Tawar IVF Dengan Kos Jauh Lebih Rendah
|
Rawatan persenyawaan in vitro (IVF) kini bukan lagi sesuatu…
PGA Serbu Kilang Kayu Di Kuala Krai, Rampas Kayu Tidak Bercukai Bernilai RM1 Juta
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah kilang kayu yang…
Cuaca Panas Buatkan Itik ‘Merajuk’ Enggan Bertelur, Hilang Selera Makan
|
Seorang penternak itik telur di Kampung Sering, Kota Bharu…
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’, Kisah Hidup Prof Teo Kok Seong, Pakar Bahasa Dari Kelantan
|
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’ Nama Profesor Datuk Dr Teo…
Jawatan Kosong Kelantan