KOTA BHARU – Seorang bapa ayam direman selama lima hari di Mahkamah Majistret Kota Bharu bermula Jumaat bagi membantu siasatan berkaitan aktiviti pelacuran di negeri ini, lapor Sinar Harian.
Turut ditahan dua wanita yang merupakan pemilik premis dan pengurus, empat pekerja seks, serta seorang lelaki warganegara Bangladesh yang dipercayai pelanggan.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Wan Muhammad Izzat Wan Abdullah.
Tahanan reman terhadap semua suspek yang berusia antara 36 hingga 77 tahun itu dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 372A dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan.
Menurut sumber polis, serbuan dilakukan pada jam 11.15 malam di Jalan Kebun Sultan oleh sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
“Kesemua pekerja seks yang ditahan terdiri daripada tiga warganegara Thailand dan seorang Vietnam.
Saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah,” katanya.
#KelantanDaily
Sumber: Sinar Harian
