Bekalan ikan di Pantai Timur tidak terjejas pada musim tengkujuh

KOTA BHARU – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menjangkakan bekalan ikan di negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Pahang dan Terengganu tidak akan terjejas teruk sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula awal November ini.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada persatuan nelayan di negeri berkenaan berhubung kesukaran turun ke laut disebabkan laut bergelora.

“Jika dibandingkan pada Oktober tahun lalu, negeri di Pantai Timur sudah dilanda banjir. Namun, ketika ini cuaca dikatakan masih baik dan hanya sekali-sekala sahaja hujan berlaku, terutamanya pada sebelah petang.

“Malah, mengikut maklumat yang diperoleh setakat ini, semua jenis bot termasuk kelas A (di pantai barat), kelas B, C dan C2 serta nelayan di persisiran pantai masih boleh turun ke laut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra MADANI bersama nelayan Kota Bharu sempena perasmian stesen minyak mudah alih (Portable Container System, PCS) Persatuan Nelayan Kawasan Kota Bharu di Petron PCS, Kuala Besar, di sini hari ini.

Muhammad Faiz berkata, LKIM tetap mengambil langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan ketika musim tengkujuh.

Menurutnya, pihak LKIM telah menempatkan bekalan ikan QFISH sebanyak 116.78 metrik tan (MT) di seluruh negara membabitkan lima penyimpan utama dan setiap bekalan mampu bertahan antara tiga hingga enam bulan.

“Bekalan di Ibu Pejabat Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) adalah sebanyak 12.50 MT, Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (0.92 MT), Persatuan Nelayan Negeri Selangor (1.10 MT), Persatuan Nelayan Negeri Sarawak (3.76 MT) dan Persatuan Nelayan Kawasan Besut (98.50 MT).

“Berdasarkan data juga, keseluruhan pendaratan bekalan ikan dalam negara mencatatkan kenaikan sebanyak 1.5 peratus pada tahun 2024, berbanding tahun sebelumnya. Kelantan mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu 29 peratus, diikuti Melaka (23.3 peratus) dan Perlis (18.5 peratus),” katanya.



Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip, sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia dijangka tidak berdepan cuaca ekstrem pada musim MTL kali ini, dan fenomena La Nina diramal lemah serta singkat, bermula akhir tahun ini hingga Februari 2026.

#KelantanDaily
Sumber: Bernama

TERKINI

Ulama Umno Bidas Senator DAP, Pertahan Program Dakwah Di UPSI
|
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Mohd Khairuddin Aman Razali…
PRU16 Dijangka Diadakan Oktober Atau November Tahun Ini
|
PAS menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan berlangsung…
PGA Rampas 8,800 Helai Kain Batik Seludup Bernilai RM1.76 Juta Di Tumpat
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk…
Kali Pertama Seludup Arak Dari Thailand, Dua Lelaki Dicekup PGA Di Rantau Panjang
|
Cubaan pertama dua lelaki untuk menyeludup masuk minuman keras…
Ketua Jurulatih Senegal Tegas Utamakan Kewajipan Solat
|
Ketika ramai pasukan memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi…
Rupanya Ini Sebab Bendera Arab Saudi Tidak Pernah Diletakkan Di Atas Padang Piala Dunia
|
Setiap kali aksi Piala Dunia 2026 berlangsung, perhatian peminat…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!