Setia hujung nyawa: isteri tabah jaga suami mengalami mati otak

KOTA BHARU – Ketabahan seorang wanita menjaga suaminya yang terlantar akibat serangan angin ahmar kali kedua sehingga disahkan mengalami mati otak sejak tiga tahun lalu menjadi bukti kekuatan cinta dan pengorbanan luar biasa, menurut berita Harian Metro.

Fatihatul Munirah Abd Aziz, 41, sanggup berhenti kerja sebagai guru PASTI di Bandar Teknologi Kajang demi memberi sepenuh perhatian kepada suaminya, Ahmad Saifudin Mohd Kamel, 41, yang kini hanya mampu terbaring tanpa sebarang reaksi atau kata-kata.

Menurut Fatihatul Munirah, penderitaan suaminya bermula pada tahun 2012 apabila beliau dimasukkan ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian, selepas mengalami tekanan darah tinggi secara mendadak dan hilang keupayaan berjalan.

“Selepas menjalani ujian MRI, suami saya disahkan menghidap Conn Syndrome, iaitu gangguan hormon yang menyebabkan tekanan darah tinggi dan paras potasium rendah. Malah terdapat ketumbuhan pada buah pinggang kanannya yang meningkatkan risiko diserang strok,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kedai Lalat.

Beliau berkata, sejak itu suaminya perlu bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan bagi mengawal tekanan darah dan mencegah strok.

Dua Kali Diserang Angin Ahmar

Fatihatul Munirah berkata, pada Mac 2020, ketika negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), suaminya tiba-tiba rebah selepas menunaikan solat Zuhur.

“Hasil imbasan CT Scan menunjukkan darah beku sudah merebak ke otak. Suami saya perlu menjalani pembedahan segera di Hospital Kuala Lumpur (HKL) diikuti prosedur trakeostomi bagi membantu pernafasan,” ujarnya.

Selepas beberapa minggu dirawat di hospital, Ahmad Saifudin dibawa pulang ke Kelantan untuk rawatan susulan dan menunjukkan sedikit perkembangan positif selepas menjalani terapi robotik di HPUSM, malah mampu berjalan menggunakan tongkat.

Namun, pada tahun 2022, beliau sekali lagi diserang strok yang lebih teruk hingga disahkan mengalami mati otak.

“Ketika itu bulan Ramadan. Saya sedang menyiapkan makanan sahur apabila suami tiba-tiba diserang sawan dan mulutnya berdarah akibat tergigit lidah. Beliau kemudian dimasukkan ke ICU dan perlu ditebuk leher kali kedua untuk bernafas,” katanya.

Menurutnya, sejak kejadian itu, suaminya tidak lagi mampu bertutur dan perkataan terakhir yang disebut ialah “siang” sebelum terus tidak sedarkan diri.

Hidup Bergantung Kasih dan Ketabahan

Sejak tiga tahun lalu, segala urusan penjagaan dilakukan sendiri oleh Fatihatul Munirah termasuk menukar lampin pakai buang dan memberi susu melalui tiub di hidung.

“Keadaan suami dipantau 24 jam menggunakan CCTV, terutama apabila saya perlu keluar membeli barang atau mengambil anak di sekolah,” katanya yang mempunyai tiga anak berusia antara lapan hingga 15 tahun.

Setiap bulan, beliau memperuntukkan lebih RM2,000 bagi menampung keperluan suami termasuk susu formula khas RM115 setin yang hanya bertahan dua hari, lampin pakai buang, peralatan perubatan dan kos ambulans ke HPUSM untuk rawatan dua hingga tiga kali sebulan.

Beliau bersyukur menerima bantuan daripada Perkeso dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang membantu meringankan beban kewangan.

“Selagi hayat masih ada, saya akan menjaga suami dengan penuh kasih sayang. Kami pernah melalui detik bahagia, dia seorang suami yang penyayang. Kini giliran saya pula membalas segalanya,” katanya sebak.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 165125127401 atas nama Fatihatul Munirah Abd Aziz, atau menghubunginya di talian 013-9600870.

#KelantanDaily
Sumber: Harian Metro

TERKINI

10 Rakyat Malaysia Dalam Misi Global Sumud Flotilla 2.0 Ditahan Tentera Zionis
|
Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan 10 rakyat Malaysia…
Pelajar Parah Dirempuh SUV Di SMK Tanjong Mas Dibenar Keluar Hospital
|
Pelajar perempuan tingkatan satu yang sebelum ini parah selepas…
Langgar Kereta Polis, Pacuan Empat Roda Ditembak Dua Das Sebelum Pemandu Ditahan
|
Polis melepaskan dua das tembakan ke arah tayar sebuah…
Lelaki OKU Mental Didakwa Bunuh Bapa Di Baung Bayam
|
Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mental dihadapkan ke…
Fenomena Bau Asap Waktu Malam Di Kota Bharu Dan Bachok Cetus Tanda Tanya
|
Sejak beberapa malam kebelakangan ini, penduduk sekitar Kota Bharu…
Mangsa Ditembak Pencuri Lembu Di Ladang Kemahang Dibenar Pulang
|
Mangsa yang parah ditembak dipercayai pencuri lembu dalam kejadian…
Jawatan Kosong Kelantan