Penduduk di sembilan jajahan di Kelantan diminta berwaspada susulan ramalan awal banjir yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi tempoh 24 hingga 30 November ini.
Ramalan itu dibuat susulan amaran hujan berterusan pada tahap Waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Menurut Ramalan Awal Banjir Negeri Kelantan yang dikemas kini pada jam 8 malam, sembilan jajahan berisiko terjejas ialah Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu, Machang dan Kuala Krai.
JPS memaklumkan kawasan yang berpotensi mengalami banjir termasuk lokasi hotspot, kawasan rendah serta kawasan berisiko di beberapa lembangan sungai utama.
Lembangan Sungai Golok Dan Kelantan Antara Kawasan Berisiko
Bagi lembangan Sungai Golok, kawasan yang dikenal pasti melibatkan Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat.
Sementara itu, lembangan Sungai Kelantan turut membabitkan kawasan Kota Bharu, Machang dan Kuala Krai.
Di Pasir Puteh dan Bachok pula, kawasan berisiko melibatkan lembangan Sungai Semerak, selain Sungai Kelantan di Pasir Puteh serta Sungai Kemasin dan Sungai Gali di Bachok.
10 Sungai Dikenal Pasti Dalam Ramalan
Antara sungai yang dikenal pasti dalam ramalan awal berkenaan ialah:
- Sungai Golok
- Sungai Bunut Susu
- Sungai Meranti
- Sungai Pengkalan Nangka
- Sungai Kelantan
- Sungai Ketereh
- Sungai Semerak
- Sungai Kemasin
- Sungai Lebir
- Sungai Galas
JPS memaklumkan pemantauan akan dilakukan secara berterusan dan hebahan amaran banjir akan dikeluarkan sekiranya hujan signifikan berterusan di lembangan sungai terbabit.
Tarikh Banjir Boleh Berubah
Menurut JPS, banjir yang diramalkan berkemungkinan berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh yang dijangkakan.
Sehubungan itu, semua agensi pengurusan bencana serta penduduk, khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko, diminta sentiasa berwaspada dan peka terhadap arahan pihak berkuasa.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat serta amaran banjir terkini menerusi laman web PublicInfoBanjir atau Facebook PublicInfoBanjir.
