Dua beradik lelaki berusia 10 dan enam tahun maut selepas motosikal yang dinaiki bersama abang sulung mereka terbabas di Kampung Bechah Tendong, Pasir Mas, kira-kira jam 1.45 petang Khamis.
Dalam kejadian itu, Muhammad Saiful Haider Saifulnizam, 10, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala adiknya, Muhammad Saiful Hayyan, 6, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Abang mereka, Muhammad Saiful Haikal, 18, yang menunggang motosikal berkenaan turut cedera dan menerima rawatan di hospital sama.
Motosikal Terbabas Ketika Ambil Adik Pulang Sekolah
Ketika kejadian, Muhammad Saiful Haikal dikatakan dalam perjalanan menjemput Muhammad Saiful Haider di Sekolah Kebangsaan Othman Talib 1 bersama adiknya yang berusia enam tahun.
Bapa mereka, Saiful Nizam Abdul Sani, 42, berkata, dia berada di rumah sebelum dimaklumkan isterinya mengenai kemalangan itu selepas menerima panggilan daripada pemilik sebuah kedai.
Menurutnya, pemilik kedai berkenaan mengenali motosikal yang dinaiki anak-anaknya kerana kenderaan itu miliknya. Malah, kuih-muih yang dihasilkan bersama isterinya turut dijual di kedai tersebut.
"Tauke kedai cam motosikal yang dinaiki anak-anak kerana ia milik saya. Lagipun, kuih-muih yang dibuat oleh saya dan isteri dijual di kedai berkenaan.
"Dia telefon pada isteri maklum anak-anak kemalangan, motosikal mereka terbabas. Selepas isteri bagitahu, saya terus ke lokasi kejadian," katanya.
Bapa Sempat Ajarkan Anak Mengucap
Saiful Nizam berkata, dia sempat mengajar kedua-dua anaknya mengucap ketika melihat mereka terbaring dalam keadaan berlumuran darah.
"Papa ada ni... saya ulang ayat itu beberapa kali kepada anak-anak.
"Ketika itu saya hanya mampu berdoa agar dipermudahkan segala urusan selepas kedua-dua mereka berlumuran darah," katanya yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di Unit Forensik HRPZ II.
Menurutnya, anak sulungnya hanya mengalami luka dan patah jari kaki sebelum mendapatkan rawatan di hospital.
Saksi Lihat Mangsa Tercampak Selepas Motosikal Terbabas
Sementara itu, pemilik kedai berhampiran lokasi kejadian, Mohd Rosli Awang Ngah, 47, berkata dia terdengar bunyi kuat sebelum melihat motosikal berkenaan terbabas dan merempuh pagar berhampiran premisnya.
Katanya, dua kanak-kanak tercampak di atas jalan, manakala seorang lagi tercampak ke kawasan pagar rumah bersebelahan.
"Saya menitis air mata melihat mereka bertiga berlumuran darah".
Menurutnya, dia segera keluar untuk melihat keadaan mangsa sebelum mengambil payung bagi menutup tubuh salah seorang kanak-kanak yang terkena hujan.
"Saya terus keluar dari kedai dan ternampak seorang kanak-kanak lelaki berlumuran darah di tepi pagar dan seorang lagi tidak jauh darinya, manakala remaja yang juga abang mereka kelihatan terpinga-pinga.
"Saya terus mengambil payung untuk menutup tubuh seorang daripada kanak-kanak itu daripada hujan. Nampak kanak-kanak yang memakai seragam sekolah tidak bergerak dan orang ramai mengajarnya mengucap," katanya.
Mohd Rosli turut memaklumkan Muhammad Saiful Haikal memberitahu orang awam bahawa dia berasa pening selepas kejadian.
Abang Dipercayai Terlelap Ketika Menunggang
Menurut Saiful Nizam, anak sulungnya memaklumkan bahawa dia dipercayai terlelap ketika menunggang motosikal sebelum terbabas dan melanggar tiang.
"Menurut Muhammad Saiful Haikal, dia dikatakan terlelap semasa menunggang motosikal dan kemudian terbabas melanggar tiang. Mungkin dia masih mengantuk ketika itu," katanya.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mazlan Hassan turut mengesahkan kejadian berkenaan.
Jenazah kedua-dua mangsa dijadualkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gaung, Tendong, Pasir Mas selepas selesai proses bedah siasat.
Sumber: Harian Metro, Sinar Harian
