Anthony Loke mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung pelaksanaan baki hukuman penjara Datuk Seri Najib Razak menerusi tahanan di rumah.
Setiausaha Agung DAP itu memaklumkan perkara berkenaan menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan selepas keputusan mahkamah berhubung permohonan tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu.
Menurutnya, keputusan meletakkan jawatan tersebut dibuat selaras dengan pendirian yang telah diumumkannya pada Jumaat lalu.
"Selaras dengan pendirian yang telah saya umumkan pada Jumaat lalu, peletakan jawatan saya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta.
"Keputusan ini berpegang pada prinsip dan pendirian yang telah saya jelaskan sebelum ini," katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, berkaitan kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin turut membatalkan perintah pelepasan selepas pembayaran denda RM50 juta bertarikh 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah bersyarat supaya Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah.
Susulan keputusan itu, Najib dilaporkan akan dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Taman Duta, Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman berkenaan.
Dalam kenyataan sama, Anthony turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepadanya untuk menganggotai Jemaah Menteri sejak Disember 2022.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada barisan pengurusan tertinggi serta seluruh warga Kementerian Pengangkutan atas komitmen dan kerjasama sepanjang tempoh menerajui kementerian berkenaan.
"Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memastikan urusan peralihan tugas berjalan lancar dan segala tanggungjawab dan inisiatif kementerian terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat," katanya.
Sumber: Berita Harian
