Anwar Mohon Anggota ATM, PDRM Undi Calon PH Pada PRN Melaka

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pasangan masing-masing serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka supaya memberikan sokongan kepada calon gabungan itu.

Rayuan berkenaan dibuat menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, menjelang proses pengundian awal yang berlangsung esok.

Anwar berkata, kepercayaan yang diberikan kepada calon PH akan dipikul dengan penuh iltizam dan tekad untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat Melaka.

Beliau turut mengingatkan bahawa undi yang diberikan bakal menentukan kepimpinan negeri itu, khususnya dalam soal mempertahankan amanah rakyat.

"Esok, rakan-rakan serta keluarga dari ATM dan PDRM akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Melaka... dengan rendah hati, saya memohon kepercayaan saudara dan saudari untuk mengundi calon Harapan.

"Undi saudara dan saudari akan menentukan sama ada Melaka dipimpin oleh mereka yang teguh mempertahankan amanah rakyat atau mereka yang sanggup menutup mata apabila amanah itu dikhianati... kepada Allah SWT kita berserah," katanya.

12,531 pengundi awal layak mengundi

Bagi PRN Melaka kali ini, seramai 12,531 pengundi awal layak menunaikan tanggungjawab mereka.

Jumlah itu merangkumi 9,769 anggota tentera serta pasangan masing-masing dan 2,762 anggota polis.

Kesemua mereka akan mengundi di 31 pusat pengundian awal yang diwartakan di seluruh negeri.

Secara keseluruhan, seramai 687,697 pengundi layak mengambil bahagian dalam PRN Melaka kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN berkenaan pada 14 November ini.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!