Sembilan jajahan di Kelantan diramal berkemungkinan dilanda banjir bermula hari ini hingga 11 November susulan amaran hujan berterusan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Ramalan awal itu membabitkan Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kuala Krai dan Jeli.
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan malam ini memaklumkan, kawasan titik panas banjir, kawasan rendah serta lokasi berisiko banjir dijangka terjejas sepanjang tempoh berkenaan.
Menurutnya, ramalan itu dikeluarkan susulan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) oleh MetMalaysia pada jam 4.30 petang tadi.
Sungai Kelantan dan Sungai Golok antara kawasan berisiko
Bagi jajahan Kota Bharu, kawasan berisiko melibatkan Lembangan Sungai Kelantan.
Di Tumpat pula, risiko banjir membabitkan Lembangan Sungai Golok termasuk Sungai Golok, Sungai Pengkalan Nangka, Sungai Mentua dan Sungai Kelaboran.
Sementara itu, di Bachok, kawasan yang dikenal pasti berisiko melibatkan Lembangan Sungai Kemasin merangkumi Sungai Jelawat, Sungai Kemasin, Saliran PKS, Saliran KADA dan Sungai Bator.
Lembangan Sungai Semerak yang merangkumi Sungai Lubuk Nibong, Sungai Melor, Sungai Gunong dan Sungai Semerak turut disenaraikan sebagai kawasan berisiko di jajahan berkenaan.
Bagi Machang, kawasan terlibat ialah Lembangan Sungai Kelantan termasuk Sungai Kelantan, Sungai Kerawang, Sungai Kweng Hitam dan alur sekitar bandar Machang.
Di Pasir Mas pula, ramalan banjir membabitkan Lembangan Sungai Golok termasuk Sungai Golok dan Sungai Lemal, manakala di Pasir Puteh melibatkan Lembangan Sungai Semerak.
Selain itu, kawasan berisiko di Tanah Merah turut melibatkan Lembangan Sungai Kelantan.
Di Kuala Krai, kawasan yang dikenal pasti ialah Sungai Lebir dan Sungai Galas dalam lembangan sama.
Bagi jajahan Jeli, kawasan berisiko melibatkan Lembangan Sungai Kelantan termasuk Sungai Pergau dan Sungai Jeli serta Lembangan Sungai Golok membabitkan Sungai Lanas.
PRABN turut mengingatkan bahawa banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tempoh dijangkakan.
Sehubungan itu, penduduk terutama mereka yang tinggal di kawasan berisiko dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi banjir menerusi laman sesawang Public InfoBanjir di https://publicinfobanjir.water.gov.my/
Sumber: Bernama
