Kelantan Sudah Sita Ladang Sireh Rohingya Khamis Lalu

Kerajaan Negeri Kelantan telah mengambil tindakan menyita kawasan ladang sireh yang dipercayai diusahakan komuniti Rohingya di Kampung Padang Guchil, selain sebuah kediaman yang masih dalam pembinaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah, berkata tindakan itu dilakukan pada Khamis lalu selepas siasatan awal dan pemeriksaan di lokasi berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati terdapat struktur binaan serta aktiviti penempatan di atas tanah berkenaan yang digunakan sebagai tempat kediaman dan kawasan tanaman sireh.

Tanah sepatutnya untuk tanaman getah dan dusun

Hilmi berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, syarat nyata kegunaan tanah bagi lot-lot berkenaan adalah untuk tanaman getah dan dusun.

Susulan itu, pihak berkuasa mengarahkan kerja-kerja pembersihan tanah bagi kawasan ladang dihentikan kerana tiada kebenaran merancang ladang.

Pembinaan sebuah bangunan yang dipercayai untuk dijadikan stor turut diarahkan berhenti.

Katanya, siasatan mendapati tanah yang diusahakan untuk tanaman sireh itu disewa daripada penduduk tempatan pada kadar RM2,000 setahun.

Empat individu Rohingya ditemui

Semasa pemeriksaan dijalankan, empat individu etnik Rohingya berada di lokasi berkenaan.

Hilmi berkata, hanya seorang daripada mereka mengemukakan kad UNHCR, manakala tiga yang lain tidak mengemukakan sebarang dokumen.

"Hasil temu bual mendapati, mereka menyewa tanah berkenaan pada kadar RM2,000 setahun manakala kediaman berkenaan disewa pada kadar RM300 sebulan.

"Keberadaan etnik Rohingya bukan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Pejabat Tanah dan bagi kes berkenaan, hanya itu tindakan yang boleh diambil," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya sudah merekodkan keterangan pemilik tanah dan kediaman. Kedua-duanya merupakan pesara guru dan tidak tinggal di kampung berkenaan.

Ladang sireh lebih dua hektar cetus keresahan penduduk

Sebelum ini media melaporkan kewujudan ladang sireh seluas lebih dua hektar di Kampung Padang Guchil, Tanah Merah yang didakwa diusahakan komuniti Rohingya sejak beberapa tahun lalu menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat.

Ladang berkenaan dilengkapi junjung kayu yang disusun secara teratur. Hasil tanaman itu difahamkan dijual kepada pemborong.

Menurut laporan berkenaan, tanah tersebut disewa daripada pemilik yang berada di luar Kelantan pada kadar antara RM600 hingga RM1,000 bagi setiap hektar.

Kawasan yang sebelum ini kelihatan seperti hutan terbiar itu kemudian berubah menjadi ladang sireh selepas disewakan.

Penduduk turut mendakwa jumlah komuniti Rohingya di kampung berkenaan meningkat daripada sekitar 15 orang lebih 10 tahun lalu kepada hampir 100 orang ketika ini.

Sumber: Harian Metro

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!