KOTA BHARU – Budaya masyarakat Kelantan yang berasaskan kasih sayang, hormat-menghormati serta tolong-menolong terus menjadi identiti negeri ini dan menarik perhatian selebriti, Ardini Angeline Tan.
Beliau berkata, sepanjang pemerhatian dan pergaulannya dengan masyarakat Kelantan, mereka hidup dalam suasana harmoni dengan saling memahami serta menganggap jiran dan rakan taulan seperti keluarga sendiri.
“Orang Kelantan saling menghormati tanpa mengira bangsa. Jika ada majlis perkahwinan, jiran dan rakan akan bergotong-royong membantu. Mereka menganggap satu sama lain seperti keluarga.
“Rezeki juga dikongsi bersama. Dalam Islam kita ada zakat dan sedekah, tetapi di Kelantan, budaya tolong-menolong ini sebati dalam kehidupan harian.
“Di kedai kopi pula orang Melayu, Cina dan India boleh duduk berkumpul bersama,” katanya ketika menjadi panel Forum Bicara Hati: Kasih Disemai, Rezeki Dikongsi, Budaya Kelantan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat lalu.
Ardini menambah, negeri Kelantan kaya dengan warisan budaya yang berwarna-warni. Masyarakatnya berpegang teguh kepada ajaran Islam yang membentuk akhlak serta interaksi penuh mesra dan kasih sayang.
“Masyarakat Kelantan juga bangga mempertahankan seni budaya seperti wayang kulit, wau bulan dan lagu tradisional. Identiti wanita Kelantan yang mengenakan sarung tangan dan sarung kaki mencerminkan nilai menjaga maruah serta adat.
“Suasana ini sangat indah, bukan sahaja pada tempatnya tetapi juga pada orang-orangnya,” jelasnya.
Forum berkenaan turut menampilkan pendakwah Ustazah Asmak Husin dengan moderator Nur Bahirah Hazirah Shaari.
Sementara itu, Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan (U-KeKWa), Ilvira Mohd Dasuki berkata, penganjuran Kelantan Charity Festival 2025 memberi pengisian tersendiri dengan menekankan ilmu dan kekeluargaan.
“Di Kelantan, hari Jumaat diisi dengan program menuntut ilmu manakala hari Sabtu dikhususkan sebagai hari keluarga. Masyarakat perlu wujudkan masa untuk mencari ilmu,” katanya.
Beliau turut menegaskan peranan Kerajaan Negeri dalam menyokong masyarakat, khususnya wanita dan golongan memerlukan, melalui pelbagai inisiatif. Antaranya bantuan armalah (ibu tunggal), Skim Cakna Aulad untuk bayi baru lahir, Skim Cakna Hawa untuk pekerja wanita B40, Skim Cakna Suri bagi suri rumah, serta bantuan kepada pesakit kanser payudara dan anak yatim.
Katanya lagi, Kelantan Charity Festival bukan sekadar pesta kebajikan, tetapi medan menyatukan masyarakat, memupuk budaya kebersamaan serta mengukuhkan semangat tolong-menolong.
“Terima kasih kepada penganjur bersama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Madoo Bee sebagai rakan strategik, para penaja dan semua petugas yang menjayakan program ini,” ujarnya.
#KelantanDaily
Sumber: Media Point
