Seorang wanita maut selepas kereta Perodua Axia yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori 10 tan di Felda Chiku 3, Gua Musang, pada Ahad.
Dalam kejadian itu, mangsa tersepit di dalam kenderaan yang remuk dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
Seorang penumpang di bahagian hadapan kereta berkenaan pula mengalami kecederaan, manakala pemandu serta kelindan lori dilaporkan selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan itu pada jam 12.52 tengah hari.
Menurutnya, anggota bersama jentera kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 42 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang.
“Sejurus mendapat makluman tentang kejadian terbabit anggota dan jentera bergegas ke lokasi kejadian yang jarak 42 kilometer daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang.
“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan menggunakan bateri power cutter dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis.
“Manakala mangsa yang tercedera dibawa oleh anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan awal,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Operasi berkenaan membabitkan sembilan anggota BBP Gua Musang bersama sebuah jentera dan sebuah pacuan empat roda.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo turut mengesahkan kejadian tersebut.
Sumber: Berita Harian
