KPDN Larang Warga Asing Beli Minyak Masak Subsidi Bermula 1 Mac

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mewartakan peraturan larangan pembelian minyak masak paket bersubsidi kepada bukan warganegara berkuat kuasa 1 Mac ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peraturan itu dibuat berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan dengan punca kuasa Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurut beliau, peruntukan undang-undang tersebut akan dirujuk terlebih dahulu kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dikuatkuasakan.

“Dengan adanya larangan ini, kami dapat memastikan subsidi itu akan dimanfaatkan warganegara dan tidak dibuka ruang kepada warga asing,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berhubung hasrat KPDN untuk mengintegrasikan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dengan pangkalan data bantuan lain bagi mengelakkan lambakan birokrasi dan amalan bekerja secara silo.

Armizan memaklumkan, KPDN kini berada dalam fasa perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk mengintegrasi platform MyKasih sebagai antara opsyen pembelian minyak masak paket bersubsidi oleh rakyat.

“Mungkin selepas ini dengan hanya mengimbas kad pengenalan, ia membolehkan pengguna membeli minyak masak paket tanpa menggunakan aplikasi eCOSS,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan penggunaan MyKad bagi pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI RON 95 menjadi rujukan dalam cadangan menggunakan kad pengenalan sebagai opsyen pembelian minyak masak paket bersubsidi.

Mengulas mengenai keberkesanan eCOSS dalam menangani ketirisan penjualan minyak masak paket bersubsidi, beliau berkata sejak dilaksanakan pada Mei 2025, sistem itu telah merekodkan pembelian sebanyak 20,361,432 paket.



“Sekurang-kurangnya kami sudah ada data siapakah yang membeli minyak masak paket ini dalam kalangan warganegara dan hala tuju program ini juga dapat ditentukan bersandarkan kepada keputusan berasaskan data,” katanya.

SHARE:

TERKINI

Bomba Kelantan Rekod 1,509 Kes Kebakaran Terbuka Sejak Mac, Bachok Tertinggi
|
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan peningkatan…
Kelantan Sasar Pasaran China & Singapura, Rangka Promosi Pelancongan Lebih Efektif
|
Kerajaan Negeri Kelantan kini merangka pendekatan promosi pelancongan yang…
Bengkel Kereta Di Jalan Long Yunus Kota Bharu Terbakar, Lima Kenderaan Hangus
|
Sebuah bengkel kereta di Jalan Long Yunus, Kota Bharu…
Pengeluaran Dron Serangan Iran Meningkat 10 Kali Ganda Sejak Perang
|
Kadar pengeluaran dron serangan Iran dilaporkan meningkat sehingga 10…
YIK Lahirkan 5,720 Huffaz, 432 Graduan Tahfiz Dirai Dalam Majlis Graduasi Kali Ke-16
|
Yayasan Islam Kelantan (YIK) berjaya melahirkan seramai 5,720 huffaz…
MB Manfaat Lawatan PM Sabtu Ini, Bincang Pembangunan Perlu Disegerakan
|
Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke…
Jawatan Kosong Kelantan