Dua penjawat awam yang bertugas di Kementerian Kesihatan dicekup selepas disyaki berkhalwat di pejabat mereka di Wisma Kerajaan, Gua Musang, pada Khamis.
Menurut laporan Kosmo, pasangan lelaki dan wanita itu ditahan kira-kira pukul 4 petang selepas dipercayai berada berduaan di dalam sebuah pantri di pejabat jabatan berkenaan.
Sumber memaklumkan, pintu pantri tersebut berada dalam keadaan berkunci sehingga anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) terpaksa membukanya secara paksa.
“Apabila pintu dibuka, salah seorang daripada mereka cuba melarikan diri ke bilik pejabatnya, namun sempat dilihat anggota penguat kuasa yang berada di lokasi.
“Difahamkan, tindakan mereka itu sebelum ini turut diperhatikan oleh kakitangan lain apabila dipercayai sering masuk berdua ke pantri tanpa alasan yang jelas sejak kira-kira tiga bulan lalu,” katanya.
Setakat ini, status kes serta tindakan lanjut terhadap kedua-dua individu terbabit masih belum diperoleh.
Ringkasan 2 Minit
Dua kakitangan Kementerian Kesihatan dicekup selepas disyaki berkhalwat di sebuah pejabat dalam bangunan Wisma Kerajaan, Gua Musang.
Mereka dipercayai ditemukan berduaan di dalam pantri berkunci kira-kira pukul 4 petang semalam. Anggota penguat kuasa JAHEAIK dilaporkan terpaksa membuka pintu tersebut secara paksa.
Menurut sumber, salah seorang daripada mereka cuba menuju ke bilik pejabat selepas pintu dibuka. Perbuatan pasangan itu juga didakwa telah diperhatikan oleh kakitangan lain sejak kira-kira tiga bulan lalu.
Status kes dan tindakan lanjut terhadap kedua-duanya masih belum diketahui.
Sumber: Kosmo
