Seorang pengguna Facebook menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengkaji semula tatacara mengiringi orang kenamaan atau VIP supaya keselamatan pengguna jalan raya turut diberikan perhatian.
Menurut hantaran Mohd Faisal di Facebook, isu polis eskot atau pengiring bukan perkara baharu dan telah lama menjadi perbualan masyarakat. Beliau mendakwa pernah melalui tiga pengalaman mencemaskan ketika memberi laluan kepada konvoi VIP.
Pengalaman pertama berlaku di Lebuhraya Mahameru ketika beliau memandu dari Bangunan Parlimen menuju ke Bulatan Pahang.
Ketika berada di lorong kanan berhampiran Sekolah Maxwell dalam keadaan hujan renyai, sebuah motosikal trafik didakwa datang dari belakang dengan membunyikan siren sambil mengarahkan kenderaan ke tepi.
Beliau terpaksa bertukar lorong secara tergesa-gesa sehingga kenderaan lain turut dihimpit ke kiri dan keadaan itu hampir menyebabkan kemalangan.
Sukar Beri Laluan dalam Terowong
Kejadian kedua pula berlaku ketika tempoh pandemik COVID-19 dalam terowong di persimpangan Jalan Tun Razak dan Jalan Ampang, berhampiran Bangunan Tabung Haji.
Mohd Faisal berkata, beliau tidak dapat terus berpindah dari lorong tengah kerana terdapat kenderaan di lorong kiri. Terowong itu juga tidak mempunyai bahu jalan, manakala motosikal bergerak bertali arus.
“Jika dia ke tepi juga, samada dia akan tibai dinding atau baham penunggang motosikal. Akibat dari saya tidak boleh ke tepi, polis itu menjerit dan menepuk cermin sisi saya,” tulisnya.
Selepas berjaya memberikan laluan, sebuah Toyota Vellfire berwarna hitam yang dipercayainya membawa seorang VIP kemudian melintas. Bagaimanapun, beliau tidak mengetahui identiti individu di dalam kenderaan tersebut.
Pengalaman ketiga didakwa berlaku di atas jambatan Lebuhraya ELITE dari NKVE menuju ke KLIA, berhampiran Stadium Shah Alam.
Menurutnya, laluan itu sering sesak, dipenuhi lori kontena dan mempunyai bahu jalan yang sempit. Keadaan tersebut menyukarkan pengguna untuk memberi laluan secara tiba-tiba apabila konvoi VIP datang dengan laju.
Beliau turut membangkitkan masalah konvoi yang panjang sehingga pengguna tidak dapat kembali ke lorong asal dengan segera selepas kenderaan VIP melintas.
Minta PDRM Beri Penjelasan
Mohd Faisal turut mempersoalkan jumlah individu yang diberikan kemudahan eskot di Malaysia.
Berdasarkan pengetahuannya, beliau mendakwa Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, beberapa menteri kanan, Menteri Besar, Ketua Menteri serta beberapa pemegang jawatan utama negara layak menerima kemudahan berkenaan.
Bagaimanapun, dakwaan mengenai individu yang layak dan jumlah eskot itu bukan pengesahan rasmi daripada PDRM.
Beliau menegaskan bahawa dirinya menghormati semua pemegang jawatan penting dan memahami keselamatan mereka perlu dijaga. Namun, anggota yang mengiringi konvoi juga diminta memahami keadaan pengguna yang mungkin tidak mempunyai ruang untuk memberi laluan dengan segera.
“Ketua Polis Negara perlu kaji semula perkara ini dan perbetulka jika ada yang tidak kena. Dan perlu terangkan kepada rakyat.
“Kita tidak mahu benda ini menjadi bom jangka yang meletup satu hari nanti,” tulisnya.
Menurutnya, keselamatan pemimpin sememangnya penting kepada negara, tetapi keselamatan rakyat biasa di jalan raya juga tidak boleh dipandang ringan.
Sumber: Mohd Faisal
