Kelantan Mahu LPT3 Dipercepat, Permohonan Dibuat Sejak 2024

Kerajaan Negeri Kelantan telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan sejak 13 Oktober 2024 supaya pelaksanaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dapat dipercepatkan.

Langkah itu diambil bagi memastikan kesinambungan rangkaian lebuh raya Pantai Timur hingga ke Kelantan, selain meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti rakyat di negeri ini.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Dato’ Dr Izani Husin berkata, LPT3 merupakan projek infrastruktur strategik yang menjadi keutamaan kerajaan negeri.

Menurut beliau, pelaksanaan projek itu bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan perhubungan, malah berpotensi merangsang pertumbuhan sosioekonomi Kelantan.

“Pada 13 Oktober 2024, Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) demi memastikan kesinambungan rangkaian lebuh raya di Pantai Timur serta meningkatkan tahap aksesibiliti dan mobiliti di Negeri Kelantan.

“Di samping itu, Kerajaan Negeri turut membangkitkan cadangan pelaksanaan Projek LPT3 dalam Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan (MTPNG) sebagai salah satu agenda pembangunan utama negeri. Usaha ini bertujuan mendapatkan sokongan Kerajaan Persekutuan agar projek tersebut dapat diteruskan demi meningkatkan kesalinghubungan, merangsang pertumbuhan ekonomi serta menjamin kesejahteraan rakyat Negeri Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Bunut Payong, Shaari Mat Yaman pada Persidangan Kali Kedua bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026.

Libat urus dengan Kerajaan Persekutuan

Dr Izani berkata, kerajaan negeri turut mengadakan sesi libat urus strategik dengan Kerajaan Persekutuan, termasuk melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), bagi menggerakkan usaha merealisasikan projek berkenaan.

Cadangan pelaksanaan LPT3 juga diangkat sebagai antara agenda utama dalam Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan.

Usaha itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan projek berkenaan terus diberikan perhatian di peringkat Persekutuan.

Kerajaan negeri berharap sokongan Kerajaan Persekutuan dapat diperoleh supaya projek LPT3 diteruskan demi memperkukuh kesalinghubungan, merangsang kegiatan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Kelantan.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!