Baru Seminggu Menyewa, Bapa Terkorban Ketika Cuba Selamatkan Isteri dan Anak Dalam Kebakaran

Beberapa bunyi letupan mengejutkan penduduk Desa Mawar 2 di Muadzam Shah sekitar jam 4 pagi.

Ketika jiran bergegas keluar, sebuah rumah sudah dijilat api.

Menurut laporan Berita Harian, Mohd Kahurolaizam Mokhtar, 42, berjaya membawa keluar dua anak lelakinya yang berusia 10 dan 16 tahun.

Namun, isteri dan anak bongsunya yang baru berusia empat tahun masih berada di dalam rumah.

Walaupun api sudah terlalu marak, bapa yang bekerja sebagai pemotong rumput itu cuba masuk semula untuk menyelamatkan mereka.

“Api terlalu marak sehingga jiran tidak dapat membantu dan ketika itu mangsa nak masuk semula dalam rumah itu tetapi tak dapat.

“Dia melecur dan rebah di depan rumah serta meninggal dunia,” kata Pemangku Ketua Desa Mawar 2, Khairizal Abdul Hamid.

Bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan. Namun, tiga nyawa tidak dapat diselamatkan.

Isteri mangsa, Siti Zaleha Aluha, 31, dan anak bongsu mereka, Muhamad Putra Rayqal, 4, ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah bilik di bahagian belakang rumah.

Mohd Kahurolaizam pula menghembuskan nafas terakhir di hadapan rumah selepas melecur disambar api.

Keluarga itu dilaporkan baru seminggu menyewa di rumah berkenaan.

Sumber: Berita Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!