64 Bas Baharu Termasuk 8 EV Perkukuh Pengangkutan Awam Negeri Kelantan

Usaha memperkasa sistem pengangkutan awam negeri terus diperkukuh apabila sebanyak 64 buah bas baharu yang selesa dan mesra pengguna disediakan bagi rakyat Kelantan.

Perkhidmatan itu merangkumi 16 laluan strategik yang menghubungkan Kota Bharu dengan semua bandar utama di setiap jajahan di Kelantan.

Sebagai langkah ke hadapan selaras agenda mobiliti hijau, lapan bas elektrik (EV) turut diperkenalkan khusus bagi laluan bandar, sekali gus mengurangkan pencemaran alam sekitar serta meningkatkan tahap keselesaan penumpang.

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, pengangkutan awam darat termasuk bas ekspres dan bas berhenti-henti memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian rakyat, khususnya dalam menyokong pergerakan ekonomi, sosial dan kekeluargaan.

Menurutnya, sistem pengangkutan yang strategik dan cekap merupakan tulang belakang kepada perhubungan antara negeri serta daerah, seiring dengan pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan.

“Kerajaan sebelum ini memperkenalkan skim sokongan interim bagi perkhidmatan bas berhenti-henti sebelum diteruskan dengan pendekatan yang lebih sistematik menerusi Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) Kota Bharu di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan SBST di Kelantan melalui BAS.MY Kota Bharu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan perkhidmatan bas yang terancang, selamat, boleh dipercayai serta mesra rakyat.

“Hari ini kita melangkah ke fasa yang lebih moden melalui program BAS.MY Kota Bharu yang akan dilancarkan. Insya-Allah, inisiatif ini akan terus menjadi nadi pengangkutan harian rakyat Kelantan,” katanya.

Beliau memaklumkan, perkhidmatan SBST kini meliputi 11 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di hampir seluruh negeri Kelantan, sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan memastikan tiada jajahan tercicir daripada arus pembangunan.

Mengulas sambutan rakyat, beliau berkata berdasarkan data Julai hingga Disember 2025, seramai 382,903 penumpang telah menggunakan perkhidmatan BAS.MY, dengan laluan Kota Bharu–Rantau Panjang mencatat jumlah tertinggi iaitu 85,516 penumpang.

Selain itu, setakat 17 Januari 2026, sebanyak 70 pengguna telah mendaftar pas 30 hari, manakala 6,297 pengguna menerima manfaat Kad Konsesi melibatkan warga emas, mahasiswa, pelajar sekolah dan orang kurang upaya (OKU).

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap pelantikan Konsortium E-Mutiara Bhd sebagai pengendali, sebuah syarikat milik anak Kelantan yang berpengalaman luas dalam industri pengangkutan awam.

“Ia akan terus memperkukuh jaringan perhubungan antara kawasan dan menjadi pilihan rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri dan PBT dalam penyediaan prasarana sokongan seperti hentian bas.



“Insya-Allah, kerajaan negeri bersama PBT akan melaksanakan pembinaan pusat hentian bas berhenti-henti di setiap laluan bagi memastikan perkhidmatan ini beroperasi dengan lebih berkesan dan selesa,” katanya.

Sumber: inforakyat.kelantan

SHARE:

TERKINI

Cucu Tok Guru Nik Aziz, Senator Azhar Pilih Berdamai Tamatkan Kontroversi
|
Kontroversi melibatkan cucu bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Nik…
MB Kelantan Salur Bantuan Awal Kepada Mangsa Kebakaran Gok Kapor
|
Kerajaan Negeri Kelantan menyalurkan bantuan awal kepada mangsa kebakaran…
Remaja 15 Tahun Cuci Kereta Demi Keluarga, MAIK Tampil Hulur Bantuan Buat Shamir
|
Seorang remaja berusia 15 tahun yang sebelum ini terpaksa…
Tragedi Tohoi: Hilang Dalam Hutan 47 Hari, Dua Murid Sekolah Berusia 10 Dan 11 Tahun Ditemui Selamat
|
Hampir 11 tahun berlalu, namun tragedi kehilangan tujuh murid…
Ibu Angkat Ditahan Kurung Kanak-Kanak 9 Tahun Dalam Stor Belakang Rumah
|
Nasib malang seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang…
Jangan Hukum Semua Pelarian Rohingya Kerana Kesalahan Segelintir Individu – ABIM
|
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan bahawa pendirian mereka…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!