Seorang lelaki dari Muar, Johor berkongsi kisah menarik bagaimana beliau berjaya memujuk ahli keluarganya yang sebelum ini merupakan penyokong kuat Umno untuk memilih PAS.
Nazrul Fahmi Isman yang juga salah seorang pengiring calon PERIKATAN Nasional (PN) bagi DUN Sungai Balang, Ustaz Muhammad Amin Sailan berkata, beliau pada awalnya menyangka keluarga mertuanya di Kelantan semuanya menyokong PAS.
“Saya ingatkan bila dah kahwin dengan orang Kelantan, orang Kelantan ni semuanya PAS. Sekali mak mertua dan pak mertua kuat Umno.
“Dan setelah melihat terlalu banyak perkara teruk yang berlaku dalam negara yang membuatkan mereka kecewa, jadi sayapun masuk sedikit demi sedikit memujuk mereka dan kemudiannya mertua saya berjanji, lepas ni mak pangkah PAS lah,” katanya.
Menurut Nazrul, proses memujuk keluarganya bukan berlaku dalam tempoh singkat, sebaliknya mengambil masa selepas beliau berkongsi pandangan mengenai keadaan ekonomi, kedudukan Melayu Islam, janji-janji yang tidak ditunaikan serta pendekatan PAS dalam berkempen.
Beliau berkata, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, ibunya sendiri akhirnya mengakui mengundi PAS selepas sekian lama beliau cuba meyakinkannya.
Keluarga Nazrul mempunyai latar politik yang berbeza apabila ibunya serta kedua ibu bapa mertuanya merupakan penyokong kuat Umno, manakala beliau, isteri dan bapanya pula menyokong PAS.
Tertarik sertai PAS selepas pengalaman pilihan raya
Bercerita mengenai bagaimana beliau mula menyertai PAS, Nazrul berkata keputusan itu bermula selepas beliau berdebat dengan rakannya yang merupakan ahli PAS mengenai kerja-kerja pilihan raya.
Katanya, beliau tertarik melihat semangat rakan-rakan PAS ketika memasang bendera walaupun mereka tidak menerima sebarang bayaran.
“Saya pasang bendera, kawan saya geng-geng PAS pasang bendera juga tapi lain, lain sebab saya tengok dia orang seronoknya jer.
“Kenapa dia orang seronok sangat berbanding dengan geng-geng Umno, biasa jer gitu.
“Lepas tu saya tanya geng-geng PAS, seronok sangat berapa banyak dia bayar? Dia orang jawab mana ada bayar, takde bayar, seikhlas hati. Bergaduh juga kami tak percaya.
“Biasa dalam Umno satu malam biasa dapat RM50, rokok lagi,” katanya.
Menurut Nazrul, pengalaman tersebut membuka matanya bahawa perjuangan politik bukan semata-mata berkaitan wang ringgit, sebaliknya kesedaran dalam diri untuk membawa perubahan.
Beliau kemudiannya menyertai PAS pada tahun 2020 dan dilantik mengetuai Alternative Riding Club (ARC) Muar di bawah sayap Pemuda.
Katanya, beliau turut menghargai pendekatan PAS dalam mengendalikan aktiviti seperti konvoi motosikal yang menekankan aspek solat dan batas pergaulan.
Nazrul turut menyeru pengundi di DUN Sungai Balang supaya melihat model pentadbiran Kelantan dan Terengganu yang menurutnya membina negeri melalui pendekatan tarbiyah serta pendidikan kepada rakyat.
Beliau berkata pembangunan fizikal tetap diberi perhatian selain aspek agama, manakala masyarakat bukan Islam turut diberikan hak terhadap keperluan agama mereka.
Malah, katanya, pembangkang juga menerima peruntukan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mereka wakili.
Sumber: Harakah Daily
