Guru Dan Rakan Dipenjara 8 Tahun Selepas Didapati Bersalah Perdagang Wanita Untuk Eksploitasi Seks

Seorang guru dan rakannya dijatuhi hukuman penjara lapan tahun serta denda RM5,000 setiap seorang selepas didapati bersalah memperdagangkan seorang wanita bagi tujuan eksploitasi seks dua tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu terhadap Mohd Hasfyanizam Mansor, 50, yang bekerja sebagai guru, dan rakannya Mohamad Fazley Jaafar, 31, seorang buruh.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati kedua-dua tertuduh bersalah pada akhir kes pembelaan hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua mereka menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Didakwa Perdagang Wanita Untuk Eksploitasi Seks

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa memperdagangkan seorang wanita tempatan berusia 29 tahun bagi tujuan eksploitasi seks.

Perbuatan itu dilakukan dengan cara menyalahgunakan kedudukan mangsa yang mudah terdedah kepada bahaya pemerdagangan orang.

Kesalahan berkenaan didakwa berlaku di sebuah kondominium di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, kira-kira jam 2.35 pagi pada 11 Mac 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwa Minta Hukuman Berat

Terdahulu, peguam Mohd Shahir Mat Jusoh daripada Tetuan Ghazali & Co memohon hukuman minimum diberikan dengan alasan kedua-dua anak guamnya merupakan ketua keluarga serta mempunyai tanggungan masing-masing.

Beliau berkata hukuman berat akan memberi kesan kepada keluarga terutama anak-anak mereka.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Hafizudin Manjur Ahmad memohon hukuman setimpal dan berat dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh.

Menurut beliau, status Mohd Hasfyanizam sebagai seorang guru sepatutnya menjadikannya contoh kepada masyarakat, namun sebaliknya terlibat dalam jenayah berkenaan.

“Pihak pendakwaan berharap agar satu hukuman berat dijatuhkan kepada kedua-dua OKT (Orang Kena Tuduh) agar mereka dapat berfikir, bermuhasabah dan menjadikan hukuman tersebut sebagai titik tolak untuk mereka berubah menjadi insan yang lebih baik dan berguna kepada masyarakat pada masa hadapan,” katanya.

Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim berkata mahkamah berharap hukuman tersebut dapat memberi pengajaran dan menginsafkan kedua-dua tertuduh.

Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noradila Abdul Latif.

Sumber: Bernama

TERKINI

KPDN Kelantan Gagalkan Cubaan Seludup Lebih 20 Tan Minyak Masak Ke Thailand
|
Cubaan menyeludup lebih 20 tan metrik minyak masak peket…
KRW FC Umum 23 Penaja Untuk Musim Liga Super 2026/2027
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) memperkenalkan seramai 23…
12 Pasukan Bola Sepak Kelantan Yang Pernah Mewarnai Liga Malaysia
|
Kelantan pernah dikenali sebagai antara negeri yang paling kuat…
Anwar Lancar Avatar AI, Pelawa Rakyat Kongsi Pandangan Secara Terus Di WhatsApp
|
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia,…
Rumah Kedai Sedang Diubah Suai Runtuh, Hempap Dua Kenderaan Di Melaka
|
Suasana tenang di Taman Kota Laksamana, Melaka bertukar cemas…
KRW FC Hantar Dokumen Kepada FIFA, Yakin Sekatan Perpindahan Dapat Diselesaikan
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) memaklumkan telah menghantar…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!