Kerajaan Kelantan sanggup membelanjakan peruntukan besar tanpa berkira soal kos bagi memastikan bekalan air kepada rakyat tidak terjejas susulan kemarau berpanjangan yang kini berada pada tahap membimbangkan.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, fokus utama ketika ini adalah mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil atau Non-Revenue Water (NRW) bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan sepenuhnya kepada pengguna.
Menurut beliau, pelbagai langkah segera sedang diambil termasuk membaiki paip bocor serta mengenal pasti punca kehilangan air dalam sistem agihan.
“Untuk tahun 2026 ini, kita beri fokus kepada NRW. Kita akan kesan ke mana air ini hilang dan lakukan pembaikan segera terutama melibatkan paip bocor.
“Kita tidak berkira dari segi peruntukan. Berapa banyak pun kos diperlukan, kita akan baiki kerosakan demi memastikan air sampai kepada rakyat,” katanya pada sidang akhbar pada Isnin.
Sebelum itu, beliau hadir bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud ke lokasi kejadian kebakaran yang memusnahkan lapan rumah di Kampung Chabang Tiga, Kedai Buloh.
Dalam masa sama, Dr Izani memaklumkan kerajaan negeri menerusi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) turut mempergiat penghantaran bekalan alternatif ke kawasan yang terjejas.
“Kawasan yang tidak ada air, kita gerakkan tangki statik secukupnya. Kita juga akan pastikan lori-lori air AKSB dihantar terutama ke kawasan yang benar-benar terdesak.
“Kalau perlu, kita sanggup ‘habis modal’ sementara waktu asalkan rakyat tidak terputus bekalan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata antara kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ gangguan bekalan air adalah sekitar Kuala Krai, manakala kawasan lain seperti Pasir Mas dan Pasir Pekan masih terkawal.
Dalam perkembangan sama, beliau mengakui musim kemarau kali ini lebih mencabar kerana tempohnya yang panjang sehingga memberi kesan ketara terhadap sumber air mentah termasuk sungai dan telaga jejari.
“Kemarau kali ini pada tahap tinggi dan lama. Kita lihat rumput dan pokok kering, paras air sungai juga surut.
“Telaga jejari AKSB turut terkesan, begitu juga sumber air lain. Kita pun tidak pasti bila kemarau ini akan berakhir,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Izani menasihatkan orang ramai agar lebih berhemah dalam penggunaan air selain mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka yang boleh memburukkan keadaan.
“Penggunaan air perlu dijimatkan. Dalam musim panas ini biasanya penggunaan meningkat, tetapi kali ini kita kena kawal kerana bekalan semakin berkurang.
“Pada masa sama, elakkan pembakaran terbuka kerana api mudah merebak dalam keadaan cuaca kering,” katanya.
Tegas beliau, kerajaan negeri akan terus memperkukuh langkah berjaga-jaga bagi memastikan krisis bekalan air akibat kemarau dapat ditangani sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
