Operasi bersepadu berskala besar membabitkan tiga negeri membawa kepada rampasan pelbagai produk rokok elektronik atau vape bernilai lebih RM3 juta menerusi Operasi Bersepadu E-Cigarette Mega yang dijalankan serentak di Kelantan, Pahang dan Terengganu, semalam.
Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan melaksanakan operasi itu dari jam 2 hingga 6 petang, melibatkan 18 siri serbuan ke atas premis yang menjual rokok elektronik.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan melibatkan tujuh premis di Kota Bharu dan Bachok, Kelantan; tiga di Terengganu (Kuala Terengganu dan Jerteh); serta lapan premis di Kuantan, Pahang.
“Hasil operasi, sebanyak 193.53 liter cecair vape pelbagai perisa, 10,745 unit peranti vape dan 1,287 unit aksesori telah dirampas.
“Seramai 18 lelaki tempatan turut ditahan untuk siasatan lanjut oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pihak KKM dan PBT turut mengeluarkan denda serta kompaun berjumlah RM145,250 melibatkan ketiga-tiga negeri terlibat.
Ahmad Radzi berkata, operasi itu membabitkan kekuatan seramai 157 pegawai dan anggota PGA, 100 pegawai KKM, 59 petugas PBT serta 25 pegawai LHDN.
Katanya, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) serta undang-undang kecil pelesenan tred dan perindustrian.
“PGA akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi membanteras aktiviti penjualan rokok elektronik demi melindungi kesihatan awam,” katanya.
Sumber: Bernama
SHARE:
