Sebatang pokok tualang yang berada di laluan Gua Musang–Kuala Krai, Kelantan, yang sebelum ini tular dan turut dikaitkan dengan cerita mistik, akhirnya selesai ditebang sebentar tadi.
Kerja-kerja penebangan pokok tualang berkenaan turut dikongsikan menerusi siaran langsung (live) di TikTok Zorro, sekali gus menarik tontonan ramai pengguna, khususnya dari Kelantan.
Dalam video tersebut, kelihatan jentera dan pekerja menjalankan proses penebangan sehingga pokok berkenaan berjaya ditumbangkan.
Menerusi ruangan komen, penebangan pokok itu mendapat pelbagai reaksi orang ramai.
“Takdok doh la (tiada lagi) mercu tanda lepah (lepas) ni,” kata seorang pengguna TikTok dalam dialek Kelantan.
“Bismillah, mudahan berjalan lancar,” komen seorang lagi individu.
“Alhamdulillah, pokok tular tak dokdoh,” tulis seorang lagi pengguna.
Sebelum ini, pokok tualang tersebut tular selepas dikaitkan dengan unsur mistik, malah Kosmo! Online pada 8 Ogos 2024 pernah melaporkan mengenai pokok berkenaan yang dikatakan ‘kebal’ kerana dipercayai ada penunggu.
Laporan itu turut menyebut pokok tualang berusia lebih 150 tahun yang terletak berhampiran Kampung Sungai Bayu, Gua Musang itu masih kekal walaupun projek pembinaan Lebuh Raya Lingkaran Utama sedang giat dijalankan di kawasan tersebut.
Sumber: Kosmo
SHARE:
