Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Putrajaya bagi memperkukuh hubungan kerja antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi beliau, pertemuan tersebut diadakan selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara.
Beliau berkata, pertemuan itu bukan sekadar kunjungan hormat, sebaliknya menjadi medan memperkukuh hubungan pentadbiran atas asas yang matang, berhemah dan berorientasikan solusi.
Menurutnya, fokus utama adalah dalam semangat federalisme yang sihat dengan pendekatan profesional, saling menghormati bidang kuasa serta berkongsi tanggungjawab bagi memastikan setiap inisiatif sampai kepada rakyat.
“Kerajaan yang matang bukan sekadar berbeza pandangan, tetapi tahu mencari titik persamaan demi maslahat bersama.
“Negeri dan Persekutuan harus bergerak seiring, bukan untuk siapa yang lebih menonjol, tetapi untuk siapa yang lebih terbela,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa segala perbincangan tersebut bermuara kepada satu tekad, iaitu memastikan manfaatnya dirasai sepenuhnya oleh rakyat kerana kesejahteraan mereka adalah ukuran sebenar kejayaan pentadbiran.
SHARE:
