Harga Sebiji Telur RM30, Rakyat Palestin Di Kelantan Resah Kenang Nasib Keluarga Di Gaza

Ramadan kali ini tidak membawa kegembiraan sepenuhnya buat empat rakyat Palestin yang kini berada di Kelantan. Jauh di sudut hati, mereka hanya mampu memikirkan nasib ahli keluarga di tanah air yang masih bergolak.

Dengan perang yang belum berkesudahan sejak 7 Oktober 2023, mereka hanya mampu berdoa agar insan tersayang di Gaza terus dilindungi walaupun hampir setiap hari menerima khabar ada yang syahid.

Bagi Maher Mahmud, 36, sudah lebih dua tahun dia tidak dapat pulang ke kampung halamannya di Sheikh Radwan kerana pintu sempadan masih ditutup.

“Pada mulanya saya, isteri dan empat anak datang ke sini untuk mengunjungi rakan. Isteri dan anak pulang terlebih dahulu kerana saya perlu menyelesaikan urusan lain.

“Tiba-tiba perang meletus pada 7 Oktober 2023. Sejak itu saya tidak boleh pulang, masih tunggu masa sesuai dan pintu sempadan dibuka.

“Sangat jarang juga dapat menghubungi ahli keluarga di sana kerana kekangan liputan selain tiada bekalan elektrik untuk mereka mengecas telefon. Mereka terpaksa guna tenaga solar untuk elektrik, itupun perlu dibayar juga,” katanya ketika ditemui.

Maher berkata, perang di negaranya tidak pernah berhenti dan semakin hebat menjelang Ramadan. Malah, sepupunya terkorban pada 1 Ramadan lalu ketika pulang membeli juadah berbuka di pasar.

Abdullah Ismail, 40, yang sudah lebih 10 tahun menetap di Kelantan pula berkata, dia kali terakhir menghubungi keluarganya empat hari lalu untuk bertanya khabar.

Katanya, setiap malam sebelum tidur, menjadi rutin rakyat Gaza termasuk dirinya menyemak senarai nama rakyat Palestin yang mati syahid menerusi Facebook.

“Perasaan bercampur baur antara sedih dengan kehilangan ahli keluarga dan lega kerana mereka syahid yang dijanjikan Syurga. Untuk solat Tarawih juga mereka takut-takut kerana bila-bila masa saja bom boleh ‘singgah’,” katanya.

Menurut Abdullah, juadah berbuka puasa keluarganya di Gaza kebiasaannya hanya air minuman, roti dikongsi bersama dan kurma.

“Itu sudah mencukupi berbanding Ramadan lalu yang lebih teruk sehinggakan dua atau tiga hari sekali baru dapat makan. Sekarang sudah ada sedikit makanan dibawa masuk Gaza, tapi sangat mahal sehinggakan sebiji telur dijual RM30.

“Kurma serta daging mahal. Saya kirim kepada keluarga di sana untuk kegunaan mereka terutama Ramadan ini,” katanya.

Zuhair Omar, 37, pula berkata kampungnya di As-Syijaiyah yang sebelum ini mempunyai kepadatan penduduk mencecah 150,000 orang kini musnah sepenuhnya.

Menurutnya, tiada satu pun bangunan yang tinggal selepas dibom tentera Zionis sehingga penduduk terpaksa melarikan diri dan ada yang tinggal di khemah pelarian.

“Saya juga saksi abang syahid ketika di awal perang dua tahun lalu. Saya melarikan diri dan kini menunggu masa untuk pulang walaupun sudah tiada apa yang tinggal di sana. Sekurang-kurangnya masih ada isteri dan anak kini berlindung di Mesir,” katanya.


Terdahulu, mereka menerima kunjungan badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Prihatin Suara Anak Kelantan yang diwakili Presidennya bagi menyampaikan sumbangan dan menyantuni mereka.


Sumber: Berita Harian

SHARE:

TERKINI

Rezeki Haji Sekeluarga, Isteri Simpan Hasil Toreh Getah Suami Jual Lembu Demi Ke Tanah Suci
|
Rezeki menunaikan haji tahun ini benar-benar menjadi kenangan paling…
Kutipan Zakat MAIK 2025 Cecah RM354.6 Juta, Tertinggi Dalam Sejarah Kelantan
|
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)…
Abang Ipar Upah RM15 Satu “Trip” Seludup Petrol Ke Thailand
|
Taktik licik penyeludup yang membuat pembelian petrol secara berulang…
Dua Remaja Perempuan Mengaku Jadi Pengintip Tekong Darat Seludup PATI
|
Dua remaja perempuan dipercayai berperanan sebagai pengintip kepada tekong…
1,000 Rumah Musnah Dalam Kebakaran Di Sandakan, PM Arah Bantuan Segera
|
Kebakaran besar di perkampungan atas air Kampung Bahagia, Sandakan…
Tujuh Lelaki Didakwa Pakai Pakaian Wanita Di Apartment Jalan Mahmood
|
Tujuh lelaki didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini…
Jawatan Kosong Kelantan