Hanya Tinggal Sekitar 10 Buah,Beca Di Kota Bharu Semakin Terpinggir

Beca yang pernah menjadi pengangkutan utama di bandar Kota Bharu kini berhadapan cabaran besar untuk kekal relevan dalam arus pemodenan, meskipun masih mempunyai nilai warisan budaya serta potensi sebagai produk pelancongan negeri.

Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Berlesen Negeri Kelantan (3PK), Wan Saipul Azwal Wan Muhammad berkata, ketiadaan kemudahan asas dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyukarkan pelancong mendapatkan perkhidmatan beca, sekali gus menjejaskan kelangsungan kerjaya penarik beca tradisional.

Menurut beliau, kerajaan negeri perlu menyediakan stesen khas dan papan tanda khusus di sekitar bandar Kota Bharu bagi memudahkan akses orang ramai terhadap perkhidmatan tersebut.

Beliau berkata, ketiadaan lokasi menunggu khusus bagi penumpang awam ketika ini menyebabkan pelancong sukar mengenal pasti kewujudan perkhidmatan beca walaupun permintaan masih wujud.

“Pelanggan mungkin berminat untuk menggunakan beca bagi tujuan meronda sekitar bandar tetapi tidak tahu di mana hendak mendapatkannya. Tiada nombor khusus atau pusat rujukan untuk dihubungi,” katanya.

Wan Saipul Azwal berkata, ketika ini beca hanya terdapat di sekitar Pintu Dua Pasar Siti Khadijah dan lebih banyak digunakan untuk mengangkut barangan peniaga berbanding membawa penumpang awam.

Beliau turut memaklumkan pihaknya telah beberapa kali mengemukakan cadangan supaya diwujudkan stesen menunggu beca serta papan tanda khas di lokasi tumpuan pelancong.

“Sekiranya terdapat stesen menunggu, pengayuh beca boleh beroperasi secara lebih tersusun dan sah, selain memudahkan pelancong tempatan serta luar mendapatkan perkhidmatan ini,” katanya.

Selain itu, Wan Saipul Azwal turut mencadangkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan kadar tambang dan pakej khas beca sebagai produk pelancongan, seiring dengan amalan di beberapa negeri lain.

Beliau menegaskan bahawa tanpa promosi dan sokongan menyeluruh, perkhidmatan beca berisiko pupus walaupun Kelantan terkenal dengan keunikan beca tradisional yang masih mengekalkan identiti asal tanpa hiasan berlebihan.

“Kami tidak mahu mengubah identiti beca. Kami mahu budaya asal dikekalkan tetapi perlu ada sistem supaya orang boleh menggunakan perkhidmatan ini dan pengayuh beca pula memperoleh pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengayuh Beca Kota Bharu, Che Udi Che Pa, 72, menyokong cadangan pembinaan stesen khas dan menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan kerjaya tersebut yang semakin mengecil.

Che Udi yang telah lebih 30 tahun mengayuh beca berkata, stesen khas wajar diwujudkan di sekitar Pasar Siti Khadijah memandangkan jumlah penarik beca berdaftar di kawasan itu kini hanya sekitar 10 orang, berbanding lebih 50 orang suatu ketika dahulu.

“Banyak berhenti kerana faktor usia, kesihatan dan pendapatan yang tidak menentu. Ada juga yang telah meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan pelanggan kini terdiri daripada peniaga pasar yang menggunakan beca untuk mengangkut barangan, manakala jumlah pelancong hanya meningkat sedikit ketika musim cuti sekolah.

Menurutnya, tambang bagi satu pusingan sekitar bandar dianggarkan RM20, namun jumlah itu masih tidak menjamin pendapatan harian berikutan kekurangan pelanggan.

Che Udi turut memaklumkan ketiadaan pelapis muda menjadi cabaran utama kerana pekerjaan itu memerlukan tenaga fizikal serta tidak menjanjikan pulangan menarik, dengan hanya seorang penarik beca berusia sekitar 40-an manakala selebihnya berusia antara 50 hingga 60 tahun.

“Walaupun menerima bantuan bulanan sebanyak RM500 serta sokongan pihak pelancongan, ketiadaan stesen khas dan promosi berkesan menyebabkan perkhidmatan beca semakin terpinggir,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri Kelantan akan memperhalusi cadangan untuk mempromosikan perkhidmatan beca sebagai ikon pelancongan, khususnya di Kota Bharu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, perkhidmatan beca kini berdepan cabaran besar apabila hanya 16 beca berdaftar dengan TIC Kota Bharu dan semua pengayuhnya berusia lebih 70 tahun.

Kerajaan negeri kini menyalurkan bantuan RM500 sebulan kepada setiap pengayuh beca berdaftar sejak 2025, berbanding RM100 sebelum ini, bagi meringankan beban mereka.


Usaha turut dilakukan untuk menyelaras kemudahan seperti tempat menunggu penumpang, kadar tambang dan laluan perjalanan bagi menjadikan beca lebih teratur sebagai produk pelancongan negeri.

Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

Bomba Kelantan Rekod 1,509 Kes Kebakaran Terbuka Sejak Mac, Bachok Tertinggi
|
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan peningkatan…
Kelantan Sasar Pasaran China & Singapura, Rangka Promosi Pelancongan Lebih Efektif
|
Kerajaan Negeri Kelantan kini merangka pendekatan promosi pelancongan yang…
Bengkel Kereta Di Jalan Long Yunus Kota Bharu Terbakar, Lima Kenderaan Hangus
|
Sebuah bengkel kereta di Jalan Long Yunus, Kota Bharu…
Pengeluaran Dron Serangan Iran Meningkat 10 Kali Ganda Sejak Perang
|
Kadar pengeluaran dron serangan Iran dilaporkan meningkat sehingga 10…
YIK Lahirkan 5,720 Huffaz, 432 Graduan Tahfiz Dirai Dalam Majlis Graduasi Kali Ke-16
|
Yayasan Islam Kelantan (YIK) berjaya melahirkan seramai 5,720 huffaz…
MB Manfaat Lawatan PM Sabtu Ini, Bincang Pembangunan Perlu Disegerakan
|
Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke…
Jawatan Kosong Kelantan