Angin sejuk luruan monsun dari Tanah Besar China dikenal pasti sebagai punca suhu di beberapa kawasan di Malaysia menurun sehingga merekodkan 18 darjah Celsius sejak beberapa hari lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata berdasarkan data, suhu minimum di kebanyakan tempat di seluruh negara didapati lebih rendah daripada kebiasaan, iaitu menurun antara tiga hingga lima darjah Celsius pada 10 hingga 13 Januari lalu.
Menurut beliau, keadaan suhu yang sama dijangka berulang pada 19 hingga 21 Januari ini, bergantung kepada pola angin luruan monsun.
“Pagi tadi suhu sudah kembali normal. Bukan di Dungun, Terengganu sahaja tetapi banyak tempat seperti kawasan pedalaman Dabong dan Gua Musang di Kelantan turut merekodkan suhu serendah 18 darjah Celsius,” katanya ketika dihubungi.
Beliau menjelaskan, keadaan suhu yang lebih sejuk itu kebanyakannya berlaku pada awal pagi dan orang ramai tidak perlu terlalu bimbang kerana ia merupakan fenomena biasa ketika angin dari kawasan sejuk bertiup ke negara ini.
Terdahulu, tinjauan mendapati penduduk di daerah Dungun, khususnya kawasan luar bandar, merasai suhu luar biasa sejuk sejak Ahad lalu sehingga memaksa sebahagian mereka mengenakan pakaian tebal pada waktu pagi.
Sumber: Bernama
SHARE:
