Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneruskan legasi penganjuran Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 dengan memperkenalkan kategori baharu Kumpulan Wanita, buat julung kali sejak pertandingan berprestij itu dianjurkan pada tahun 1993.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, berkata pengenalan kategori tersebut bertujuan memartabatkan seni Dikir Barat agar lebih inklusif dan dinamik, seiring dengan perkembangan semasa serta minat generasi muda.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan secara langsung membuka ruang kepada golongan wanita untuk menampilkan bakat dan kreativiti dalam seni warisan yang sebelum ini lebih sinonim dengan penyertaan lelaki.
Beliau turut menegaskan bahawa transformasi penganjuran edisi ke-22 ini mencerminkan komitmen Radio Televisyen Malaysia dalam menyuntik evolusi positif terhadap seni tradisional supaya kekal relevan, segar dan diminati masyarakat masa kini.
“Cabaran besar terletak di bahu pihak produksi untuk menampilkan Dikir Barat dengan lebih menarik dan sesuai dengan citarasa hari ini.
Menerusi RTMKlik, seni ini bukan sahaja boleh ditonton di Malaysia, malah di seluruh dunia, sekali gus mengantarabangsakan warisan Dikir Barat,” katanya.
Datuk Suhaimi berkata demikian pada Majlis Sidang Media dan Pelancaran Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 yang berlangsung di Kampung Kraftangan Kota Bharu.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan sambutan penyertaan amat menggalakkan apabila empat penyertaan kategori wanita telah diterima setakat ini, termasuk daripada kumpulan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Tambah beliau, penyertaan pendikir muda daripada pelbagai kaum dalam pertandingan dwitahunan itu turut memperluas dimensi serta keterangkuman seni Dikir Barat di peringkat nasional.
Tempoh penghantaran borang penyertaan dibuka sehingga 31 Januari ini, dengan peringkat saringan dijadual berlangsung pada 7 dan 8 Februari di stesen RTM terpilih di seluruh negara.
Kumpulan yang layak akan berentak di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur bagi peringkat Separuh Akhir pada 18 April dan peringkat Akhir pada 25 April depan.
Sumber: RTM, Utusan
SHARE:
