Kelantan Red Warrior FC mencatatkan kemenangan bergaya apabila membelasah Seoul Phoenix FC 6-0 dalam aksi Liga A1 Semi Pro 2025/26 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Kemenangan besar itu diserikan dengan hatrik pertama penjaring terbanyak pasukan, Emmanuel Mbarga, manakala Fazli Ghazali, Zuasyraf Zulkiefle dan Nik Azli masing-masing menyumbang satu gol di hadapan hampir 700 penyokong.
Perlawanan bermula dengan tekanan berterusan daripada Kelantan Red Warrior, namun beberapa peluang awal gagal dimanfaatkan sebelum jaringan pembukaan akhirnya hadir pada minit ke-38.
Hantaran jauh Mazwan Che Mat membuka ruang buat Fazli Ghazali yang melakukan larian deras sebelum merembat rendah menewaskan penjaga gol pelawat, Suwan Ko.
Fazli Ghazali meraikan gol pertama KRW ketika menentang Seoul Phoenix di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu. (Foto: KRW FC)
Mbarga menggandakan kelebihan pasukan tuan rumah pada minit ke-45 selepas bijak memanfaatkan kesilapan pertahanan Seoul Phoenix yang gagal membaca tandukan Latiff Suhaimi, hasil sepakan sudut Faiz Nasir.
Seoul Phoenix hampir merapatkan jurang pada penghujung babak pertama, namun percubaan kapten mereka, Chanwon Hwang, berjaya ditepis cemerlang oleh penjaga gol Kelantan, Shafiq Afifi.
Babak kedua menyaksikan penguasaan mutlak skuad Kelantan Red Warrior. Gol ketiga hadir pada minit ke-50 apabila percubaan Mbarga yang terlepas dari dakapan Suwan Ko disambar Zuasyraf Zulkiefle dari jarak dekat.
Empat minit kemudian, kesilapan pertahanan pelawat membawa padah apabila Kelantan dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Mbarga untuk gol keempat.
Kemasukan Nik Azli menambah bisa jentera serangan apabila beliau hanya memerlukan satu sentuhan untuk menjaringkan gol kelima pada minit ke-69 hasil tekanan berterusan ke atas benteng lawan.
Mbarga melengkapkan hatrik dan gol keenam perlawanan pada minit ke-76 selepas menerima hantaran cantik Faiz Nasir sebelum melepaskan rembatan lencong menewaskan Suwan Ko.
Selepas itu, pasukan kendalian Irfan memperlahankan tempo permainan untuk memastikan kemenangan selesa 6-0, sekali gus meraih tiga mata penuh dalam aksi ke-17 Liga A1 Semi Pro.
Keputusan itu menyaksikan Kelantan Red Warrior FC kini mendaki ke tangga ketiga carta liga buat sementara waktu dengan kutipan 32 mata keseluruhan.
Sumber: Kelantan Red Warrior FC
SHARE:
