Tiga bulan hilang di laut, isteri kerap mimpi suami minta diselamatkan

Sudah lebih tiga bulan berlalu sejak seorang nelayan warga emas, Ahmad Husin dilaporkan hilang di laut ketika keluar memancing di perairan Tumpat, namun sehingga kini tiada sebarang khabar berita mengenai nasibnya, lapor Harian Metro.

Ahmad, 71, dilaporkan hilang pada 31 Ogos lalu bersama bot fiber yang dinaikinya. Usaha pencarian dilakukan, namun kelibat nelayan itu masih belum ditemui.

Isterinya, Che Bunga Yaakob, 68, berkata, keluarganya kini semakin redha dengan kehilangan suami tercinta, walaupun masih menyimpan harapan agar Ahmad dapat pulang walau dalam apa keadaan sekali pun.

Menurutnya, suaminya kerap hadir dalam mimpi, dengan kejadian terbaharu berlaku malam kelmarin.

“Dia merayu supaya menjemputnya di muka kuala (Tanjung Kuala) iaitu tempat dia biasa turun ke laut dan memberitahu tidak dapat pulang kerana terhalang.

“Suami berkata, dia dalam perjalanan pulang sebelum disekat sesuatu dan meminta supaya datang menyelamatkannya.

“Selalunya apabila datang mimpi sebegitu, saya terus beristighfar selepas tersedar sebelum mengambil wuduk dan solat hajat serta membaca surah Yasin,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kelaboran, hari ini.

Che Bunga berkata, ada ketikanya dia ke jeti di Tanjung Kuala untuk melakukan perkara sama dan memohon agar Allah memberikan petunjuk.

“Macam-macam cerita yang timbul termasuk mendakwa penemuan mayat dalam bot di Thailand menyebabkan saya tertunggu jika pihak berkuasa menghubungi tapi tiada, bermakna bukan suami saya.

“Saya juga sudah tidak lagi merujuk kepada mana-mana ustaz kerana tidak mahu berharap kecuali seorang ustaz dari Terengganu yang menawarkan diri untuk membantu.

“Beberapa kali juga dia datang ke rumah termasuk ke jeti Tanjung Kuala untuk proses 'melihat' serta membantu membawa pulang suami dan bantuannya itu secara ikhlas tanpa bayaran,” katanya.

Menurut Che Bunga, ada juga pihak yang mengaitkan kehilangan suaminya dengan kejadian sama yang pernah berlaku terhadap ibu saudara Ahmad puluhan tahun lalu.

Dia berkata, ibu saudara suaminya itu berusia dalam lingkungan 30-an ketika kejadian dan hilang secara tiba-tiba selepas keluar dari rumah, malah sehingga kini masih tidak diketahui nasibnya.



“Mungkin ada kaitan juga tapi saya tidaklah terlalu memikirkannya sebaliknya berharap agar suami dapat pulang ke rumah walau dalam apa keadaan pun,” katanya.

Sumber: Harian Metro

TERKINI

Johor Rasmi Bubar DUN, PRN Ke-16 Bakal Diadakan
|
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 rasmi dibubarkan berkuat…
Cucu Arwah Tok Guru Nik Aziz Dakwa Ditampar Senator
|
Cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Nik Abdul…
Annuar Musa Dedah Punca Undur Diri Dari KTRW, Bakal Terajui Kelantan City
|
Bekas Presiden Kehormat Kelantan The Real Warriors, Tan Sri…
Kelantan Berpotensi Jadi Hab Tenaga Hijau Negara
|
Kelantan dilihat mempunyai potensi geografi dan cuaca yang besar…
Mufti Kelantan Sifatkan Sambutan Hari Jadi Bertema Bunian Sebagai Kufur Nikmat
|
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyifatkan sambutan hari…
13 Warga Myanmar Ditahan Di Jeli, Bayar RM3,500 Kepada Ejen Untuk Masuk Malaysia
|
Seramai 13 warga Myanmar termasuk dua kanak-kanak lelaki ditahan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!