Pihak berkuasa Thailand kini memperhebat operasi membanteras kegiatan pengemis jalanan di Sungai Golok, khususnya yang menyasarkan rakyat Malaysia yang berkunjung ke selatan negara itu.
Pengerusi Pusat Pentadbiran Narkotik Sungai Golok, Supeeyan Daemokleng, berkata operasi berkenaan telah bermula kira-kira dua minggu lalu dan akan diteruskan sehingga tiada lagi pengemis dikesan di bandar sempadan itu.
Menurut beliau yang juga Pegawai Daerah Sungai Golok, rakyat Malaysia sering menjadi sasaran utama pengemis kerana sikap pemurah serta mudah berasa simpati.
“Rakyat Malaysia dilihat sebagai sasaran mudah kerana mereka berhati baik dan lebih cenderung menghulurkan derma,” katanya.
Tambah Supeeyan, selain beroperasi di sekitar bandar Sungai Golok, pengemis turut dikesan menunggu kehadiran rakyat Malaysia di sepanjang Jambatan Muhibbah yang menghubungkan Sungai Golok dengan Rantau Panjang.
“Pihak berkuasa menjalankan operasi sepanjang masa untuk menahan individu yang meminta sedekah, termasuk mereka yang secara khusus menyasarkan rakyat Malaysia yang melawat Thailand,” katanya.
Beliau berkata, semua individu yang ditahan setakat ini adalah warga Thailand, terdiri daripada lelaki dan wanita, malah ada antara mereka menyamar sebagai individu beragama dengan memakai kopiah bagi memperdaya pengunjung.
“Setakat ini, lebih 70 pengemis ditahan dan kesemua mereka dihantar ke Pusat Perlindungan Gelandangan Wilayah Narathiwat untuk tindakan lanjut serta proses pemulihan,” jelasnya.
Menurut Supeeyan, operasi itu bukan sahaja bertujuan membanteras aktiviti mengemis, malah untuk membersihkan bandar Sungai Golok dan memperbaiki imejnya sebagai destinasi pelancongan, terutama ketika musim puncak apabila rakyat Malaysia kerap keluar masuk sempadan.
Sumber: Berita Harian
