Lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes sumbang mahram dan pembuangan bayi di belakang sebuah rumah di Kampung Alor Lintang, Kampung Raja, Besut pada Ahad dipercayai seorang orang kurang upaya (OKU) lembam, lapor Sinar Harian.
Perkara itu disahkan Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh, yang memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan dan perkembangan kes akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
"Polis telah menahan reman seorang remaja lelaki berusia 14 tahun bermula Isnin hingga 21 Disember ini bagi membantu siasatan.
"Buat masa ini belum ada ahli keluarga lain atau saksi yang dipanggil untuk dirakam keterangan," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Menurut beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan membuang bayi yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun.
Selain itu, kes sama turut disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan melibatkan perbuatan sumbang mahram, iaitu hubungan seks antara individu yang tidak dibenarkan berkahwin mengikut hukum agama.
Sebelum ini, media melaporkan penemuan seorang bayi lelaki di belakang sebuah rumah yang membongkar perbuatan sumbang mahram dipercayai membabitkan remaja perempuan berusia 16 tahun dan adik lelakinya.
BACA: Penemuan bayi bongkar kes sumbang mahram kakak dan adik
Hasil siasatan mendapati bayi tersebut dilahirkan secara rahsia dan merupakan hasil hubungan terlarang, manakala remaja perempuan berkenaan kini sedang menerima rawatan di hospital.
Sumber: Sinar Harian
