Bunuh ibu tunggal tolak lamaran, peniaga ayam dijatuhi hukuman mati

PUTRAJAYA – Seorang bekas peniaga ayam dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Rayuan semalam selepas didapati bersalah membunuh seorang ibu tunggal yang menolak lamarannya.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Azmi Ariffin, Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk mengenakan hukuman mati ke atas Mohd Nur Hussein Mohd Salleh.

Sehubungan itu, mahkamah membatalkan hukuman terdahulu Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan 38 tahun penjara dan 20 sebatan terhadap tertuduh.

Hakim Noorin berkata, mahkamah mendapati Mohd Nur Hussein telah merancang dengan teliti pembunuhan wanita itu semata-mata kerana cintanya tidak berbalas.

“Mohd Nur Hussein telah melakukan perbuatan kejam. Kecederaan mangsa adalah konsisten dengan kecederaan akibat penyembelihan dan terdapat bukti menunjukkan dia juga cuba membakar bilik tempat mayat wanita itu ditemui,” katanya.

Beliau berkata, tertuduh turut berusaha mengelak daripada disyaki dengan pergi ke kafe siber untuk log masuk dan keluar semasa jenayah berlaku, namun beberapa saksi mengesahkan mereka melihatnya berhampiran rumah mangsa ketika kejadian.

“Perayu telah memasuki rumah mangsa pada awal pagi dan menikamnya sebanyak lapan kali sehingga menyebabkan urat pada lehernya putus.

Ini menunjukkan secara terang-terangan tidak menghiraukan nyawa manusia. Kami bersetuju bahawa tidak ada penyesalan di pihak perayu kerana melakukan jenayah sedemikian. Selain itu, dia mengambil barang berharga milik mangsa dan anak mangsa serta menyembunyikannya,” katanya.

Mahkamah turut menolak rayuan Mohd Nur Hussein terhadap sabitan kesalahan, memutuskan bahawa keterangan mengikut keadaan oleh pihak pendakwaan sudah memadai untuk membuktikan dia melakukan pembunuhan tersebut.

Tertuduh, berusia 42 tahun, sebelum ini didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Sept 2023 kerana membunuh Hamidah Abdul Rahman, 53, seorang pembantu kedai, di sebuah rumah di Taman Datuk Liew Yan Sip, Ipoh, antara jam 3 pagi hingga 5 pagi pada 13 Mac 2017.

Menurut fakta kes, mangsa mengenali Mohd Nur Hussein beberapa tahun sebelum kejadian dan mereka sering keluar bersama. Tertuduh pernah melamar mangsa tetapi ditolak kerana mangsa 20 tahun lebih tua daripadanya. Dua bulan sebelum kejadian, wanita itu telah bertunang dengan seorang pesara polis.

Dalam hujahnya, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari memohon mahkamah menjatuhkan hukuman mati kerana sifat kejam dan motif cemburu tertuduh yang digambarkan sebagai “aku tak dapat, orang lain tak dapat”.



Sementara itu, Peguam Mohamad Hafiz Jalaludin, yang mewakili tertuduh, berhujah bahawa tiada bukti langsung menunjukkan anak guamnya memasuki rumah mangsa atau bertemu dengan wanita tersebut semasa kejadian.

#KelantanDaily
Sumber: Bernama

TERKINI

“Sebagai Bapa, Saya Maafkan Guru Berkenaan” – Bapa Pelajar Maut Dirempuh Di Sekolah
|
Tragedi pilu yang meragut nyawa pelajar Tingkatan Satu, Nur…
Guru Disyaki Rempuh Dua Pelajar Depan Surau Sekolah Di Kota Bharu Dibawa Ke Mahkamah
|
Kes kemalangan tragis yang mengorbankan seorang pelajar Tingkatan Satu…
Iran Telah Lama Bersedia Hadapi Perang Berpanjangan Selama 6 Bulan
|
Iran dilaporkan bersedia menghadapi kemungkinan perang berpanjangan sehingga enam…
Tragedi Pelajar Maut Di Kota Bharu Perlu Jadi Iktibar, Elak Kecuaian – PM
|
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tragedi yang…
Tular Video Pemandu Bas Didakwa Pandu Sambil Meriba Wanita
|
Satu video yang tular di media sosial mencetuskan kemarahan…
AS Dakwa China Bersedia Hantar Sistem Pertahanan Udara Baharu Kepada Iran
|
Perisikan Amerika Syarikat (AS) mendakwa China sedang bersiap sedia…
Jawatan Kosong Kelantan