Penduduk Rantau Panjang siap siaga hadapi MTL, sedia rakit lindungi harta benda

PASIR MAS – Penduduk di sepanjang Sungai Golok, Rantau Panjang mula mengambil langkah berjaga-jaga menghadapi kemungkinan banjir besar berikutan amaran Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda tidak lama lagi.

Di Kampung Lubuk Gong, persiapan bukan sekadar menyimpan barangan di tempat tinggi, malah ada penduduk membina rakit khas bagi menyelamatkan peralatan elektrik, motosikal dan barangan berharga daripada musnah dibawa arus deras.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa penduduk sudah menyiapkan rakit menggunakan tong drum plastik dan papan lapis sebagai pelampung, manakala sebahagian lagi bergotong-royong menyiapkan rakit baharu hasil sumbangan badan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Penghulu Mukim Lubuk Gong, Suriani Daud, penduduk kini berada dalam fasa kesiapsiagaan penuh susulan hujan yang semakin kerap sejak minggu lalu.

“Hujan berterusan boleh menyebabkan paras air Sungai Golok meningkat dengan cepat dan menimbulkan kebimbangan penduduk di kawasan rendah.

Kami bersyukur kerana ada NGO yang tampil menyumbangkan rakit untuk digunakan penduduk, walaupun jumlahnya masih belum mencukupi,” katanya kepada Bernama.

Suriani berkata, 26 unit rakit bersaiz 4x4 meter telah disiapkan dan dikongsi dua keluarga bagi setiap satu. Rakit itu boleh digunakan untuk menyelamatkan harta benda atau berteduh sementara ketika air naik.

Namun katanya, permohonan untuk mendapatkan bantuan rakit masih tinggi kerana kekangan kewangan menghalang usaha memperluaskan bantuan kepada semua keluarga berisiko.

Penduduk, Wan Azlina Wan Yusof, menyifatkan sumbangan itu amat bermakna memandangkan pengalaman pahit banjir tahun lalu masih segar di ingatan.

“Tahun lepas air naik sampai paras dada. Banyak barangan elektrik dan motosikal tak dapat diselamatkan. Bila ada rakit, sekurang-kurangnya kami boleh letak barang penting di atasnya sementara menunggu pusat pemindahan dibuka,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Ramli Husin, 52, berkata banjir tahunan tetap memberi tekanan kepada penduduk, terutama ketika berpindah pada waktu malam.

“Kalau air naik waktu malam, memang kelam-kabut. Kami terpaksa bangun mengangkat barang, alih kenderaan dan pastikan semua ahli keluarga selamat.

Sebab itu rakit ini sangat penting, sekurang-kurangnya kami ada ruang sementara untuk letak barang penting sebelum bot penyelamat datang,” katanya.



Difahamkan, dalam kejadian banjir besar tahun lalu, lebih 500 rumah di sekitar Kampung Tersang, Lanchang, Tasek dan Lubuk Gong dinaiki air, menyebabkan kerugian besar kepada penduduk.

#KelantanDaily
Sumber: Bernama

TERKINI

Lebuh Raya KBKK Capai 71.4 Peratus Siap, Dijangka Beroperasi Sepenuhnya 2027
|
Projek pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) kini…
Murid SJKC Di Kota Bharu Cipta Kejutan Muncul Johan Tilawah Al-Quran
|
Ramai mungkin tidak menyangka seorang murid dari Sekolah Jenis…
Penunggang Motosikal Maut Dihempap Pokok Pulai Berusia Lebih 200 Tahun Ketika Ribut
|
Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dihempap sebatang…
Thailand Rampas 750 Liter Petrol Malaysia Disyaki Baru Diseludup Di Sungai Golok
|
Pihak berkuasa Thailand terus memperketat kawalan di sempadan apabila…
MPKB-BRI Tolak Rayuan, Penganjur Disko Retro Kekal Kena Kompaun RM30,000
|
Penganjur majlis disko retro bertemakan hippie ala 60-an dan…
Lombong Haram Di Gua Musang Diserbu, Tujuh Jentera Bernilai RM4 Juta Disita
|
Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan menyita tujuh jentera…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!