KOTA BHARU – Hospital Kota Bharu Medical Centre (KBMC) merupakan hospital swasta pertama di negeri ini yang mula beroperasi pada tahun 1998, terletak di laluan utama dari pusat bandar Kota Bharu ke Kubang Kerian.
Sejak ditubuhkan, hospital ini mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada penduduk tempatan, tetapi juga dari selatan Thailand dan Terengganu.
Menerusi perkongsian laman sosial Kota Bharu Bandar Raya Islam, projek pembinaan KBMC di Lundang kini hampir siap sepenuhnya dengan kelihatan kemudahan jejantas menghubungkan ketiga-tiga blok utama bangunan hospital.
Apabila siap, KBMC bakal menjadi hospital swasta terbesar di Kelantan dengan kapasiti 205 katil serta dilengkapi pelbagai kemudahan rawatan termasuk pusat rawatan penyakit kanser.
Pembesaran KBMC melibatkan pembinaan dua blok baharu – satu bangunan hospital setinggi 12 tingkat, dan satu lagi blok klinik pakar serta parkir bertingkat 11 tingkat. Pembinaan bermula pada tahun 2022 dan dibangunkan di atas tanah seluas 2.86 ekar.
Kedua-dua blok baharu ini dihubungkan melalui jejantas pejalan kaki bagi memudahkan pergerakan pesakit dan pengunjung. Hospital baharu KBMC turut menyediakan pelbagai fasiliti moden termasuk dewan bedah canggih, labor dan delivery suite, unit radiografi (MRI, CT Scan), pusat saringan kesihatan, unit rawatan rapi, wad rehabilitasi, pusat rawatan kimo serta makmal lengkap.
Pembinaan blok baharu hospital itu dijangka bakal menawarkan sehingga 400 peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.
Pembangunan KBMC ini bukan sahaja meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di negeri ini, malah membantu merancakkan ekonomi Kelantan melalui sektor pelancongan perubatan (medical tourism).
#KelantanDaily
