Anak Kelantan jadi OKU pertama pegang jawatan Ketua Pengarah

KUALA LUMPUR – Di sebalik fizikalnya yang kerdil, tersimpan semangat kental dan minda tajam dalam diri Nik Zalbiha Nik Mat, yang mencipta sejarah sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) pertama memegang jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam Malaysia.

Berasal dari Kota Bharu, Kelantan, Nik Zalbiha, 59, kini mampu ‘berdiri sama tinggi’ dengan insan sempurna lain apabila dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara (JDN).

Pencapaian itu, katanya, merupakan hadiah paling bermakna buat ibu bapa yang tidak pernah jemu berkorban.

Menyertai perkhidmatan awam sejak 1992, ibu kepada tiga anak itu mengakui dua cabaran utama yang dihadapinya sejak zaman persekolahan hingga ke universiti ialah kekangan infrastruktur untuk golongan istimewa dan persepsi negatif masyarakat.

“Meskipun kecacatan fizikal sering dianggap jurang pemisah, anugerah pemikiran dan kecerdasan tidak mengenal batas menjadi kunci utama kelangsungan hidup.

“Sebagai OKU, saya bersyukur dikurniakan akal setaraf insan lain,” katanya sempena sambutan Hari Orang Kerdil Sedunia, semalam.

Nik Zalbiha berkata, semasa zaman persekolahan sekitar 1970-an dan 1980-an, beliau perlu menaiki tangga setiap hari untuk ke kelas, makmal atau pejabat kerana tiada laluan khas disediakan.

Beliau yang memiliki ijazah sarjana dalam bidang keselamatan maklumat dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut berkongsi bahawa masih wujud tanggapan salah bahawa kecacatan fizikal turut menggambarkan kekurangan mental dalam kalangan OKU.

“Pandangan ini sering dizahirkan melalui cara mereka melayan dan memandang saya, seolah-olah meragui kemampuan untuk berjaya.

“Saya bersyukur kerana keluarga tidak pernah malu, malah sentiasa beri sokongan,” katanya yang juga mempunyai tiga cucu dan suami berstatus OKU.

Tiga falsafah kejayaan yang dipegangnya ialah ketabahan mental, pendidikan sebagai aset utama dan kemahiran komunikasi berkesan, selain meyakini bahawa keyakinan diri lebih penting daripada simpati.

Selepas menamatkan pengajian dalam Sains Komputer pada 1989, beliau menyertai bidang teknologi maklumat (IT) atas saranan abangnya kerana prospek kerja yang luas.

“Contohnya, bank mula guna komputer untuk mengurus data dan selepas tamat belajar pada 1989, peluang kerja dalam bidang IT amat banyak.

“Pada 1996, kerajaan melancarkan Koridor Raya Multimedia (MSC), menjadikan IT sebagai sektor ekonomi utama,” katanya.

Menurutnya, kemajuan teknologi maklumat membuka banyak ruang kepada OKU, termasuk peluang pekerjaan digital, pembelajaran jarak jauh dan akses kepada perkhidmatan kerajaan digital.

“Pembangunan teknologi mesra OKU menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan automasi perlu diberi perhatian.

“Keterangkuman mesti dijadikan prinsip utama dengan memastikan kebolehcapaian diarusperdanakan dalam setiap dasar digital negara,” katanya.

Sebagai peneraju transformasi kerajaan digital yang inklusif dan berdaya tahan, Nik Zalbiha menegaskan ilmu, disiplin dan integriti perlu dijadikan asas sepanjang perjalanan kerjaya.

“Saya percaya setiap wanita dan individu memiliki potensi luar biasa untuk memberi impak positif kepada masyarakat serta negara,” katanya.

Sempena Hari Orang Kerdil Sedunia, beliau menyeru masyarakat mengubah persepsi dengan beralih daripada simpati kepada penghormatan ikhlas terhadap golongan OKU fizikal.

“Hentikan perlakuan merendahkan, sokong inklusi sosial dan kerjaya orang kerdil, serta hormati autonomi peribadi dengan mengelak perbuatan seperti memegang atau mengangkat kami tanpa izin,” katanya.

Nik Zalbiha yang diiktiraf sebagai pakar ICT sektor awam pada 2015 dan 2016 terbabit dalam lebih 20 projek pendigitalan agensi kerajaan, termasuk pembentukan Akta Perkongsian Data 2025.



Beliau dilantik sebagai Perunding ICT pada 2023 sebelum dinaikkan sebagai Ketua Perunding ICT (Pembangunan Sistem) awal 2024, dan kini menerajui Jabatan Digital Negara (JDN) sebagai Ketua Pengarah mulai 5 Jun lalu.

#KelantanDaily
Sumber: Bernama

TERKINI

Polis Nafi Tak Ambil Tindakan Kes Lelaki Dipukul Ramai-Ramai Di Wakaf Bharu
|
Tular di media sosial dakwaan kononnya pihak polis tidak…
Bomba Kelantan Rekod 1,509 Kes Kebakaran Terbuka Sejak Mac, Bachok Tertinggi
|
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan peningkatan…
Kelantan Sasar Pasaran China & Singapura, Rangka Promosi Pelancongan Lebih Efektif
|
Kerajaan Negeri Kelantan kini merangka pendekatan promosi pelancongan yang…
Bengkel Kereta Di Jalan Long Yunus Kota Bharu Terbakar, Lima Kenderaan Hangus
|
Sebuah bengkel kereta di Jalan Long Yunus, Kota Bharu…
Pengeluaran Dron Serangan Iran Meningkat 10 Kali Ganda Sejak Perang
|
Kadar pengeluaran dron serangan Iran dilaporkan meningkat sehingga 10…
YIK Lahirkan 5,720 Huffaz, 432 Graduan Tahfiz Dirai Dalam Majlis Graduasi Kali Ke-16
|
Yayasan Islam Kelantan (YIK) berjaya melahirkan seramai 5,720 huffaz…
Jawatan Kosong Kelantan