KOTA BHARU – Polis Kelantan mencadangkan agar remaja perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang, bagi mengekang peningkatan kes rogol bawah umur di negeri ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana hasil siasatan mendapati hampir 90 peratus kes rogol bawah umur di Kelantan berlaku atas kerelaan kedua-dua pihak, bukannya paksaan.
“Sekarang ini undang-undang sedia ada lebih menjurus kepada pendakwaan terhadap lelaki sahaja, sedangkan siasatan mendapati banyak kes kedua-dua pihak sama-sama rela.
Apabila laporan dibuat, kita tetap kena buka kertas siasatan dan mengenakan pertuduhan terhadap lelaki mengikut Kanun Keseksaan atau Akta Kanak-Kanak, walaupun ada pengakuan ia dilakukan suka sama suka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, semalam.
Cadangan akan dibincang dengan pihak berkaitan
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata cadangan tersebut akan dibawa untuk dibincangkan bersama Pejabat Peguam Negara, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) dan pihak berkaitan bagi memperhalusi mekanisme undang-undang yang lebih adil.
“Kita bukan mahu melakukan pendakwaan sewenang-wenangnya, sebaliknya mencari jalan pencegahan yang lebih berkesan.
Jika undang-undang membenarkan tindakan dikenakan ke atas kedua-dua pihak, kes-kes seperti ini dapat dibendung,” jelasnya.
Undang-undang sedia ada lindungi remaja perempuan
Pada masa ini, kesalahan hubungan seks bawah umur lazimnya disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Kanak-kanak perempuan biasanya dilindungi sebagai mangsa, manakala lelaki yang terlibat berdepan pendakwaan.
Mohd Yusoff menegaskan, cadangan itu bertujuan memastikan mesej jelas sampai kepada remaja agar tidak mudah terjebak dalam perbuatan terlarang yang boleh merosakkan masa depan mereka.
#KelantanDaily
Sumber: Sinar Harian
BACA JUGA: Isu rogol statutori: Mufti Wilayah sokong saranan Ketua Polis Kelantan hukum kedua pihak
BACA JUGA: Lim Guan Eng gesa Ketua Polis Kelantan tarik balik cadangan dan memohon maaf
