KUALA LUMPUR – Pelumba muda sensasi negara, Qabil Irfan Azlan mengesahkan gelaran juara keseluruhan lebih awal selepas mendominasi perlumbaan kedua kategori ESBK Talent pada pusingan keenam Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 di Litar Estoril, Portugal.
Mewakili Frando Racing VHC Team Liqui Moly, Qabil yang turut bergelar juara dalam perlumbaan pertama sehari sebelumnya, sekali lagi mempamerkan aksi konsisten dengan menewaskan dua pelumba tuan rumah, Oliver Cantos dan Iza Rodriguez. Beliau menamatkan saingan dengan kelebihan 2.755 saat di hadapan Cantos, manakala Rodriguez berada di tempat ketiga.
Kejayaan berganda itu membolehkan pelumba kelahiran Terengganu itu dinobatkan sebagai juara keseluruhan musim 2025 selepas mengumpul 252 mata, jauh meninggalkan pencabar terdekat dari Switzerland, Alessio Arnold yang sekadar mengutip 191 mata. Qabil dijadualkan menamatkan baki saingan terakhir di Jerez, Sepanyol pada November ini.
Lebih manis, kejayaan di Portugal menyaksikan lagu Negaraku berkumandang dua kali dengan Jalur Gemilang berkibar megah, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Menurut Qabil, kejayaan ini bukan hanya miliknya tetapi juga hasil usaha pasukan, penaja dan doa keluarga. “Saya amat gembira bergelar juara dan berterima kasih kepada semua yang menyokong saya sejak awal,” katanya.
Di sebalik kejayaan gemilang ini, tersimpan kisah pengorbanan seorang ayah. Azlan Abd Rahman, bapa kepada Qabil, mendedahkan bahawa beliau pernah menjual dua koleksi kereta kesayangannya bagi memastikan impian anaknya memiliki motosikal tercapai ketika Qabil baru berusia empat tahun. Tindakan itu nyata berbaloi apabila kini pada usia 13 tahun, Qabil sudah mengecap pelbagai kejuaraan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Sejak mula menceburi dunia perlumbaan pada 2020, Qabil sudah mencatat pelbagai kejayaan termasuk juara keseluruhan Kejuaraan SIC MiniGP 110cc, juara Kejuaraan Junior SIC Ohvale 2021, tempat keempat keseluruhan di Final Dunia MiniGP 2022 (160cc) dan seterusnya muncul juara dunia Final MiniGP dalam kelas 160cc.
Sementara itu, seorang lagi pelumba muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli menamatkan saingan Red Bull Rookies Cup (RBRC) 2025 di kedudukan ketiga.
#KelantanDaily
Sumber: Bernama, Berita Harian, Kosmo
