KOTA BHARU – Cubaan seorang lelaki menyeludup petrol bersubsidi menggunakan kenderaan diubah suai dengan nombor pendaftaran palsu berjaya digagalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan dalam satu operasi khas di sebuah stesen minyak di Kampung Batu 2, Jalan Kuala Krai, semalam.
Menurut kenyataan Unit Media KPDN Kelantan, serbuan yang dijalankan pada jam 12.35 tengah hari itu menemukan 225 liter petrol disorokkan di dalam tangki tambahan kenderaan, selain empat helai resit pembelian petrol turut dirampas. Jumlah keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM5,461.25.
Seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan, manakala stesen minyak terbabit turut disiasat kerana disyaki bersekongkol melalui penjualan berulang.
Antara dokumen yang dirampas termasuk salinan lesen CSA, PDA, SSM, PBT, buku stok serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk siasatan lanjut.
KPDN memaklumkan kedua-dua kes akan disiasat secara berasingan, iaitu di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan, serta Peraturan 12(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana melanggar arahan pengawal.
#KelantanDaily
Sumber: Unit Media KPDN Kelantan
