Dibesarkan Datuk dan Nenek Sejak Bayi, Atiqah Husna Perlu Bantuan Daftar Masuk USM

Kesusahan hidup sejak kecil tidak menghalang Atiqah Husna daripada mencatat keputusan cemerlang dalam pelajaran sehingga memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Kini, anak muda dari Kampung Tal Tujuh, Pasir Mas itu menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Muda Pendidikan Sejarah dengan Kepujian di Universiti Sains Malaysia (USM).

Namun, impiannya untuk bergelar seorang pendidik berdepan kekangan apabila keluarga tidak mempunyai kemampuan mencukupi untuk menyediakan perbelanjaan pendaftaran dan keperluan sepanjang pengajian.

Menurut perkongsian 3rd Force Pasir Mas pada 1 September 2026, Atiqah dijaga dan dibesarkan oleh datuk serta neneknya, Pakcik Ghani dan Makcik Noriah, sejak berusia dua bulan selepas ibu bapanya berpisah.

Bergantung kepada bantuan SARA

Pakcik Ghani tidak lagi dapat bekerja selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2007 sehingga menyebabkan beliau menjadi orang kurang upaya (OKU).

Makcik Noriah pula semakin berusia dan tidak lagi mampu bekerja. Keluarga itu kini tinggal di sebuah rumah sumbangan menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Bagi menampung keperluan harian termasuk makanan dan minuman, mereka banyak bergantung kepada bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Walaupun membesar dalam keadaan serba kekurangan, Atiqah terus memberikan tumpuan kepada pelajaran sehingga berjaya memperoleh keputusan PNGK 4.0 dalam STPM.

Perlukan perbelanjaan dan komputer riba

Kegembiraan menerima tawaran ke USM turut diselubungi kebimbangan apabila datuk dan neneknya buntu memikirkan perbelanjaan bagi membolehkan Atiqah mendaftar di universiti.

Selain kos pendaftaran dan perbelanjaan berkaitan, Atiqah turut memerlukan sebuah komputer riba untuk menyiapkan tugasan serta mengikuti pembelajaran sepanjang berada di kampus.

3rd force pasir mas

Atiqah ketika ditemui 3rd Force Pasir Mas. | Foto: 3rd Force Pasir Mas


3rd Force Pasir Mas yang merupakan kumpulan di bawah NGO Yayasan Raja Shamri kini mengajak orang ramai membantu merealisasikan impian Atiqah untuk melanjutkan pengajian dan menjadi seorang guru.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Kak Lah, Abe Pu atau pasukan 3rd Force Pasir Mas menerusi WhatsApp di talian 018-271 8969.

Sumber: 3rd Force Pasir Mas

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!