Hasrat pelakon dan pengarah terkenal, Mohd Sabri Yunus untuk kembali ke bangku pengajian selepas lebih empat dekad akhirnya tercapai apabila beliau menerima tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sabri, 65, ditawarkan mengikuti Program Sarjana Pendidikan Kesusasteraan Melayu melalui laluan Accreditation of Prior Experiential Learning for Award of Qualifications (APEL.Q).
Personaliti televisyen dan pengacara, Ahmad Fedtri Yahya, 45, turut menerima surat tawaran bagi mengikuti Program Sarjana Pendidikan Bahasa Melayu menerusi laluan sama.
Kedua-duanya menjadi pelajar rintis bagi program yang dibangunkan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI.
Dua kali cuba masuk universiti
Sabri berkata, peluang tersebut sangat bermakna selepas dua percubaannya untuk menyambung pengajian sebelum ini tidak kesampaian.
Percubaan itu dilakukan ketika beliau berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada era 1980-an dan awal 1990-an.
“Saya sebenarnya telah dua kali berusaha untuk menjadi pelajar di universiti semenjak saya masuk ke Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1982 sebagai pelukis, namun hasrat itu tidak kesampaian kerana kekangan untuk meninggalkan pekerjaan,” katanya.Beliau berkata demikian pada program Executive Talk 6.0 Keselamatan Siber di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah pada Khamis.
Walaupun tidak dapat menyambung pengajian secara formal ketika itu, proses menimba ilmu tidak pernah terhenti dalam kehidupannya.
Sabri menganggap setiap individu yang ditemuinya sebagai seorang guru yang mampu memberikan manfaat dan pengalaman.
Kaji pantun khusus dalam Dikir Barat
Menerusi pengajian APEL.Q, Sabri mahu menjalankan kajian mengenai pantun khusus dalam Dikir Barat.
Kajian itu turut bertujuan menjelaskan fungsi dan makna sebenar istilah ‘Tukang Karut’ yang menurutnya sering disalah fahami masyarakat.
“Saya nak teruskan pembelajaran saya dan yang nak saya bawa adalah kajian saya tentang Pantun Khusus Dalam Dikir Barat. Pantun dalam Dikir Barat berbeza dengan pantun biasa kerana ia mempunyai beberapa elemen yang tersendiri,” katanya.
Fedtri pilih bidang Bahasa Melayu
Sementara itu, Fedtri berkata, beliau teruja menjadi warga UPSI dan memilih bidang Bahasa Melayu kerana percaya cara seseorang menggunakan bahasa berkait rapat dengan tahap tamadun serta keilmuan sesebuah masyarakat.
“Saya tidak pernah menjangkakan untuk berada di kampus UPSI yang indah dan bersejarah ini. Kali ini bergelar sebagai siswa, saya bersama Abang Sabri Yunus telah memulakan APEL.Q dan saya fokus kepada bidang bahasa,” katanya.
Beliau berpandangan usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu diperkasakan, terutama dalam kalangan generasi muda yang berdepan perubahan gaya komunikasi akibat pengaruh media sosial dan teknologi digital.
Fedtri turut mahu memanfaatkan peluang berada di UPSI untuk menggali serta mendokumentasikan khazanah bahasa dan pantun yang masih tersimpan dalam kalangan masyarakat.
Warisan tersebut kemudiannya boleh dipelihara dan dipersembahkan dalam bentuk yang lebih ilmiah.
Kongsi pengalaman dengan 25,000 bakal guru
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, kehadiran Sabri dan Fedtri membuka peluang kepada warga universiti untuk berkongsi pengalaman serta kepakaran mereka dalam bidang seni, bahasa dan budaya.
Pengalaman kedua-dua tokoh itu juga penting dalam usaha membina semula jati diri budaya bangsa, khususnya menerusi interaksi bersama kira-kira 25,000 pelajar UPSI yang bakal menjadi guru.
“Pelajar-pelajar di UPSI, lebih kurang 25,000 orang, akan menjadi guru dan merekalah yang akan menjadi pempengaruh kepada anak-anak muda kelak,” katanya.
Sumber: Bahagian Komunikasi Korporat UPSI
